New Zealand buka semula visa mastautin untuk tarik bakat luar


Langkah New Zealand membuka semula dua kategori visa mastautin bagi menangani kekurangan tenaga kerja akibat pandemik. – Gambar AFP, 13 Oktober 2022.

NEW Zealand semalam mengumumkan pembukaan semula dua kategori visa mastautin di sebalik kekurangan tenaga kerja global.

Kategori Migran Mahir semasa disambung semula untuk membantu menarik lebih ramai pekerja. Permohonan kategori ini terhenti apabila wabak Covid-19 bermula lebih dua tahun lepas.

Sementara itu, akses kepada Visa Kategori Ibu Bapa juga buka semula untuk meningkatkan bilangan visa ibu bapa permastautin yang diluluskan setiap tahun, selain menurunkan had pendapatan. Kategori ini dihentikan pada 2016.

Visa kediaman Kategori Migran Mahir menyediakan laluan untuk mengekalkan majoriti pekerja kemahiran yang sangat diperlukan di New Zealand, kata Menteri Imigresen Michael Wood dalam ucapan di Auckland, lapor Xinhua.

Perubahan yang dicadangkan itu, termasuk sistem mata yang lebih mudah, akan menetapkan had kelayakan yang jelas, adil dan telus serta menawarkan beberapa cara untuk orang ramai menunjukkan tahap kemahiran masing-masing, kata Wood.

Sistem baharu itu akan menambah baik masa pemprosesan dan tidak akan ada had bilangan orang yang boleh mendapat taraf pemastautin setiap tahun jika mereka memenuhi tahap kemahiran, kata menteri itu.

Pembukaan semula Visa Kategori Ibu Bapa bermakna lebih banyak penyatuan semula anggota keluarga, kata Wood, sambil menambah jumlah visa tahunan juga akan meningkat kepada 2,500 setahun. – Bernama, 13 Oktober 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen