Pakatan setuju bekerjasama dengan Muda hadapi PRU15, kata Anwar


Pengerusi Pakatan Harapan berkata gabungan itu akan bekerjasama dengan Muda pada pilihan raya umum akan datang sebagai pakatan pilihan raya dan bukan sebagai parti komponen. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Oktober, 2022.

PAKATAN Harapan (PH) akan bekerjasama dengan Muda pada pilihan raya umum akan datang, kata pengerusi gabungan Anwar Ibrahim hari ini. 

Bagaimanapun beliau berkata Majlis Presiden PH memutuskan ia akan berbentuk pakatan pilihan raya bukannya menerima Muda sebagai parti komponen.

Beliau berkata ini kerana untuk menjadi komponen gabungan itu ia memerlukan kelulusan Pejabat Pendaftaran Pertubuhan (RoS).

“Pada masa ini kerjasama dengan Muda adalah pakatan pilihan raya kerana saya tidak fikir Pejabat Pendaftaran Pertubuhan akan meluluskan (mana-mana keahlian baharu dalam PH) sekarang,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Majlis Presiden PH di Petaling Jaya hari ini.

Anwar berkata majlis itu akan membincangkan butiran kerjasama mereka seperti peruntukan kerusi dan logo.

Muda pada mulanya memohon untuk menjadi parti komponen dalam gabungan itu. PH kemudian membentuk jawatankuasa untuk mengendalikan rundingan dengan parti berasaskan belia itu.

Keputusan hari ini mengenai kerjasama PH-Muda dibuat selepas penentangan daripada puak tertentu dalam gabungan itu khususnya oleh sayap pemuda parti komponennya. – 12 Oktober 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen