KEPUTUSAN Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) mengurangkan pengeluaran minyak sebanyak dua juta tong sehari adalah “atas dasar ekonomi semata-mata”, dan telah dibuat sebulat suara, kata Menteri Luar Arab Saudi Faisal bin Farhan Al Saud pada Selasa.
Minggu lepas, OPEC+ mengumumkan pakatan itu bersetuju mengurangkan pengeluaran sebanyak dua juta tong sehari mulai November, dan menggunakan tahap pengeluaran yang dipersetujui untuk Ogos sebagai titik rujukan.
Langkah itu dibuat sebagai tindak balas terhadap ketidaktentuan dalam unjuran pasaran minyak global, yang sebahagiannya berpunca daripada sekatan Barat ke atas penghantaran tenaga ke Rusia, serta rancangan G7 untuk memperkenal had harga ke atas minyak mentah Rusia. Keputusan itu dibantah Amerika Syarikat, yang mahukan pengeluaran ditingkatkan untuk menangani kenaikan harga domestik.
“Keputusan OPEC+ adalah untuk tujuan ekonomi, dan dibuat sebulat suara oleh negara anggota (organisasi). Anggota OPEC+ bertindak secara bertanggungjawab dan mengambil keputusan yang sewajarnya,” kata diplomat kanan itu, yang dipetik oleh penyiar Al Arabiya, manakala sputnik melaporkan bahawa organisasi itu berusaha untuk menstabilkan pasaran minyak.
Beliau berkata hubungan Riyadh dengan Amerika Syarikat adalah strategik dan bermatlamat untuk mengekalkan keselamatan dan kestabilan di rantau itu. Menteri luar itu berkata kerjasama ketenteraan antara Riyadh dan Washington memberi manfaat kepada kedua-dua negara.
Pusat Sokongan Maklumat dan Keputusan Kabinet Mesir bagaimanapun menyuarakan kebimbangan bahawa keputusan mengurangkan pengeluaran minyak boleh menjejaskan pasaran tenaga global.
“Keputusan OPEC+ itu boleh mencetuskan kegawatan dalam pasaran tenaga, yang mungkin menjadi lebih buruk ekoran sekatan yang dikenakan ke atas eksport minyak Rusia dan Iran selain keengganan pengeluar AS untuk meningkatkan tahap pengeluaran bagi mengekalkan harga,” kata pusat itu dalam satu laporan.
Pada 2020, 23 negara, termasuk anggota OPEC dan 10 pengeluar minyak bukan kartel, mencapai perjanjian untuk mengurangkan pengeluaran secara sukarela di tengah-tengah penurunan mendadak permintaan minyak ketika jangkitan Koronavirus melanda seluruh dunia.
Selepas perjanjian awal untuk mengurangkan pengeluaran sebanyak 9.7 juta tong sehari, perjanjian itu berulang kali disemak untuk memadankannya dengan keadaan pasaran. Pengeluaran OPEC+ mencapai tahap pra-pandemik pada Ogos 2022.
Pada 6 Oktober, Kesatuan Eropah secara rasmi mengumumkan pakej sekatan baharu terhadap Rusia. Ia menetapkan rangka kerja untuk mengehadkan harga eksport minyak Rusia mulai Disember pada tahap yang diselaraskan oleh sekutu G7.
Majlis Kesatuan Eropah menetapkan peraturan bahawa kapal negara ketiga yang membawa minyak Rusia yang lebih mahal, akan dinafikan daripada menerima “bantuan teknikal, perkhidmatan pembrokeran, pembiayaan atau bantuan kewangan, termasuk insurans, yang berkaitan dengan sebarang pengangkutan pada masa hadapan oleh kapal minyak mentah, atau produk petroleum.”
EU berkata sementara larangan mengimport minyak mentah laut Rusia kekal, had harga apabila dilaksanakan kelak, akan membolehkan pengendali EU menjalankan dan menyokong pengangkutan minyak Rusia ke negara ketiga jika harga kekal di bawah had yang ditetapkan. – Bernama, 12 Oktober, 2022.
Komen