CHINA mengalu-alukan dan menyokong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Kesatuan Afrika (AU) meningkatkan lagi tahap kerjasama bagi menggalakkan pembangunan Afrika.
Naib wakil tetap China ke PBB, Dai Bing berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dalam sidang terbuka Majlis Keselamatan PBB (UNSC) mengenai “kerjasama PBB dengan Afrika”.
Dai berkata China menyokong kerjasama kedua-dua pihak diperkukuh dengan melibatkan usaha memelihara kedamaian dan keselamatan, memperhebat kemampuan dan menggalakkan pembangunan mampan di Afrika serta mendorong pembaharuan tadbir urus antarabangsa.
“Pelbagai masalah yang wujud di Afrika sejak sekian lama seperti kegiatan keganasan, pemerdagangan senjata, keselamatan maritim dan kesihatan awam menjadi semakin serius yang memerlukan sinergi PBB, AU dan negara serantau untuk menanganinya bersama-sama.
“PBB dikehendaki mengagihkan sumber dan tenaga milik pasukan pengamannya kepada sektor dan penduduk tempatan yang benar-benar memerlukan di negara-negara Afrika yang terbabit,” katanya.
Beliau berkata China menyokong warga Afrika menyandang jawatan wakil khas Setiausaha Agung PBB bagi Masalah Utama Afrika dan berharap UNSC menyokong lebih banyak negara anggotanya dari Afrika menjadi pelapor berkaitan masalah di benua itu.
“China bersama-sama negara Afrika telah mengadakan sidang peringkat menteri “Kumpulan Sahabat Inisiatif Pembangunan Sejagat” sempena minggu sidang peringkat tinggi Perhimpunan Agung PBB.
“Dalam sidang itu, China telah mengumumkan tujuh langkah substantif demi membantu negara Afrika meneroka lebih banyak sumber untuk mewujudkan pembangunan lestari,” kata Dai.
Menurut beliau pendirian China sentiasa konsisten untuk menyokong negara Afrika dan PBB dan bersedia memberikan lebih banyak sumbangan untuk kedamaian Afrika yang berkekalan dan pembangunan bersama. – Bernama, 12 Oktober, 2022.
Komen