China beri tumpuan pendidikan kanak-kanak perempuan, wanita


China sentiasa memberi tumpuan kepada aspek pendidikan untuk kanak-kanak perempuan dan kaum wanita bagi pembangunan sosioekonomi. – Gambar EPA, 11 Oktober, 2022.

CHINA sentiasa memberi tumpuan kepada aspek pendidikan untuk kanak-kanak perempuan dan kaum wanita bagi memperkasa keupayaan, sumbangan dan penglibatan wanita dalam pembangunan sosioekonomi. 

Perkara itu disuarakan isteri Presiden China Xi Jinping Profesor Peng Liyuan dalam perutusan tahniahnya pada majlis penyampaian Hadiah Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) bagi kategori pendidikan kanak-kanak perempuan dan kaum wanita di Paris pada Selasa.    

Peng yang juga utusan khas Unesco turut mengucapkan tahniah kepada sejumlah institusi dari Kemboja dan Tanzania yang berjaya memenangi beberapa anugerah.

Beliau berkata aspek pendidikan bukan sahaja berkaitan dengan pembangunan kaum wanita semata-mata malah skopnya lebih meluas memandangkan aspek itu penting dalam pembangunan mampan umat manusia.

“Sebagai utusan khas Unesco saya sedia bekerjasama dengan semua pihak untuk menghimpunkan kekuatan dengan kasih sayang, menyampaikan keyakinan dengan ketabahan bagi mendorong perkembangan pendidikan kanak-kanak perempuan dan kaum wanita.

“Saya juga bersedia bekerjasama untuk mewujudkan pendidikan yang lebih saksama, inklusif dan berkualiti sekali gus menyumbang kepada usaha menggalakkan pembangunan mampan global dan membentuk komuniti berkongsi nasib sesama insan,” kata Peng Liyuan.

Beliau berkata program hadiah pendidikan kanak-kanak perempuan dan kaum wanita yang ditubuhkan bersama China dan Unesco itu bertujuan mendorong perkembangan pendidikan golongan berkenaan.

“Hadiah itu berperanan penting dalam mempromosikan konsep kesamarataan jantina, praktik yang cemerlang dalam pendidikan serta amalan yang mengutamakan kesamarataan jantina di dunia dan turut  mendapat tumpuan meluas dan penghargaan tinggi masyarakat antarabangsa,” katanya. – Bernama, 11 Oktober, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen