BERSATU dan PAS akan bertukar beberapa kerusi yang mereka sandang sekarang dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Hamzah Zainudin.
Pertukaran beberapa kerusi yang akan ditandingi dua parti itu antara strategi PN untuk memenangi PRU15, katanya.
“Selama kami berbincang dengan parti komponen dalam menghadapi PRU15 ini, perkara penting adalah untuk memastikan pemimpin semua komponen boleh menang kawasan yang akan kita calonkan.
“Pertukaran kerusi dahulunya mungkin dimenangi oleh Bersatu, kini mungkin PAS perlukannya.
“Ia menentukan pemimpin berkenaan boleh menang di kawasan-kawasan itu,” katanya pada sidang media di Bukit Aman.
Ditanya sama ada PAS benar-benar komited untuk bersama PN atau masih lagi berunding dengan BN dalam menghadapi PRU-15, Hamzah menjelaskan parti itu masih bersama PN.
“Rundingan itu berbeza dan satu strategi diperlukan,” katanya.
Ahad lepas, PAS menolak syarat Umno supaya meninggalkan Bersatu dan PN sekiranya mahu menghidupkan semula kerjasama mereka.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan selepas mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, parti Islam itu berpendirian mahu meneruskan usaha penyatuan ummah melibatkan Umno dan Bersatu.
Tiga minggu lalu, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man dilapor berkata PN hampir selesai mengagihkan kerusi yang akan ditandingi parti komponennya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan bermesyuarat 20 Oktober ini bagi menetapkan tarikh-tarikh PRU15 selepas Parlimen dibubarkan kelmarin. – Bernama, 12 Oktober, 2022.
Komen