Hukuman penjara Suu Kyi ditambah 6 tahun lagi oleh junta Myanmar


Jumlah hukuman penjara bekas pemimpin Aung San Suu Kyi itu kini ditambah 6 tahun menjadi 26 tahun selepas junta Myanmar pemenang Hadiah Nobel itu didapati bersalah kes rasuah pada Rabu. – Gambar EPA, 12 Oktober, 2022.

JUNTA Myanmar menjatuhkan hukuman penjara enam tahun lagi terhadap pemimpin yang digulingkan Aung San Suu Kyi pada Rabu kerana rasuah, kata sumber yang tahu tentang kes itu, menjadikan jumlah tempoh hukuman penjara pemenang Hadiah Nobel itu kepada 26 tahun.

Suu Kyi “dijatuhi hukuman penjara tiga tahun masing-masing bagi dua kes rasuah” di mana beliau didakwa menerima rasuah daripada seorang ahli perniagaan, kata sumber itu, menambah hukuman itu akan dilaksanakan serentak.

Ditahan sejak tahun lepas, Suu Kyi telah pun disabitkan dengan rasuah dan dakwaan lain oleh mahkamah junta.

Dalam kes terbaharu, pemenang Hadiah Nobel itu – yang berada dalam tahanan tentera sejak rampasan kuasa – dituduh menerima rasuah sebanyak AS$550,000 daripada ahli perniagaan Maung Weik.

Suu Kyi – yang menafikan semua pertuduhan terhadapnya – hadir dalam keadaan sihat dan akan membuat rayuan, tambah sumber itu.

Beliau kini dibicarakan untuk lima pertuduhan rasuah lain.

Wartawan telah dihalang daripada menghadiri perbicaraan mahkamah dan peguam Suu Kyi juga  dilarang daripada bercakap kepada media. – AFP, 12 Oktober, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen