Umno mahu pilihan raya, ikut telunjuk presiden Umno


SESUATU yang tidak masuk akal dan bertindak seperti orang yang tidak siuman apabila Umno mahu adakan pilihan raya ketika negara bakal memasuki musim tengkujuh pada hujung tahun nanti.

Umno pada masa sekarang sudah tidak seperti Umno yang dahulu, yang benar-benar memperjuangkan kebajikan dan keperluan rakyat.

Umno telah mendesak Ismail Sabri Yaakob untuk bubar Parlimen seterusnya mengadakan pilihan raya umum dan dalam masa yang sama negara akan dilanda banjir. Maka ini akan benar-benar menyusahkan rakyat dan akhirnya peratusan yang keluar mengundi akan menjadi rendah.

Namun sebenarnya ini yang disukai Umno kerana apabila peratusan keluar mengundi rendah berlaku, maka mereka jangkakan yang Umno akan menang PRU.

Mereka fikir mereka akan menang, dan jika mereka menang sudah tentu perosak negara yang menyamun duit rakyat selama ini akan terlepas dan kembali bebas.

Akhirnya negara ini akan terus rosak dan rosak.

Sesuatu yang menyedihkan pada ketika ini kerana buat pertama kalinya perdana menteri Malaysia tidak begitu berkuasa. Perdana menteri terpaksa tunduk kepada presiden dan majlis kerja tertinggi sesebuah parti berbanding mengutamakan kebajikan dan keperluan rakyat.

Rakyat sedang membina kembali kehidupan setelah tragedi jangkitan Covid-19 dan banjir besar melanda negara, yang mengakibatkan kehidupan mereka benar-benar tersepit dan musnah sebelum ini. – 12 Oktober, 2022.

* Dr Mohd Aleef Yusof, Exco Kesihatan Pemuda Bersatu dan Adun Sungai Udang

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen