PRESIDEN Amerika Syarikat Joe Biden berkata beliau percaya rakan sejawatnya dari Russia, Vladimir Putin, yang lazimnya normal dan rasional, tersilap menilai keupayaan negaranya untuk menceroboh Ukraine.
Bercakap pada satu temubual disiarkan di televisyen, pentadbiran Biden berkata masih belum terlambat untuk Putin meredakan ketegangan di Ukraine sebelum terdesak bagi menggunakan senjata pemusnah besar-besaran.
“Saya fikir beliau rasional dan hanya membuat kesilapan dalam menilai,” kata Biden kepada CNN selepas Moscow membedil sasaran awam di seluruh negara jirannya itu, sekali gus menandakan peningkatan konflik yang kini berlarutan selama tujuh bulan.
Pada minggu lalu, Biden memberi amaran dunia menjadi taruhan dan mungkin menyaksikan “hari kiamat” jika Putin menggunakan senjata nuklear untuk membantu negaranya menduduki sebahagian besar kawasan di Ukraine.
Pemikiran Putin turut menjadi tanda tanya selepas beliau terpaksa mengarahkan pengunduran tentera Russia, yang didakwa berlaku beberapa kali sejak Moscow melancarkan operasinya pada Februari lalu.
Biden berkata Putin memandang rendah “kebengisan” tentera Ukraine, meskipun menganggap rakan sejawatnya itu seorang yang rasional.
“Saya fikir… dia fikir dia akan disambut dengan tangan terbuka ini adalah tanah air Russia di Kyiv, di mana dia akan dialu-alukan. Saya fikir dia tersilap menilai keadaan,” katanya.
Operasi dilakukan tentera Ukraine beberapa minggu lalu dikatakan memberi tekanan sehingga membuatkan tentera Russia berundur di seluruh barisan hadapan di selatan dan timur.
Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky pada Jumaat lalu berkata tenteranya berjaya menawan semula hampir 2,500 km persegi menerusi operasi serangan balas yang bermula akhir bulan lalu. –AFP, 12 Oktober, 2022.
Komen