Kertas siasatan buku Tommy Thomas siap, lapor media


Pasukan petugas khas siasatan terhadap buku bekas peguam negara Tommy Thomas yang dibentuk oleh Jemaah Menteri mendapati ada kemungkinan beberapa salah laku jenayah termasuk salah guna kuasa semasa memegang jawatan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Oktober, 2022.

KERTAS siasatan polis ke atas bekas peguam negara Tommy Thomas berhubung dakwaan salah laku semasa memegang jawatan sudah siap dan dihantar ke Pejabat Peguam Negara, lapor Utusan Malaysia.

“Kini bergantung kepada Pejabat Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya ke atas hasil siasatan polis,” lapor akhbar itu memetik sumber Polis DiRaja Malaysia (PDRM).

Setiausaha PDRM Noorsiah Mohd Saaduddin sebelum ini berkata polis mengambil keterangan Thomas berkenaan kandungan bukunya My Story: Justice in Wilderness.

Buku itu terbit selepas Thomas letak jawatan peguam negara susulan peralihan kerajaan pada Mac 2020.

Pasukan petugas khas siasatan ke atas buku Thomas yang dibentuk oleh Jemaah Menteri mendapati ada kemungkinan beberapa salah laku jenayah termasuk salah guna kuasa semasa memegang jawatan.

Selepas Jemaah Menteri menerima laporan pasukan khas pada 30 September, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengarahkan siasatan lanjut dijalankan segera terhadap kemungkinan dakwaan salah laku berkenaan.

Laporan itu menggariskan empat isu utama iaitu dakwaan ke atas badan kehakiman, pendedahan maklumat dan rahsia kerajaan, salah guna kuasa dan cuai, serta kenyataan berbaur hasutan.

Laporan siasatan jawatankuasa itu kepada Jemaah Menteri, yang setakat ini masih diklasifikasi sebagai rahsia, bagaimanapun bocor dan tersebar melalui portal kendalian Raja Petra Kamaruddin.

Polis sedang menyiasat kebocoran dan penyebaran maklumat sulit itu antaranya mengikut Akta Rahsia Rasmi 1972.

Thomas dilantik peguam negara pada awal Jun 2018, menggantikan Mohamed Apandi Ali yang dipecat selepas Pakatan Harapan menang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14). – 12 Oktober, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen