Ukraine rayu pertahanan udara, sekat serangan Russia


Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky merayu kepada negara Barat supaya membantu negara itu membina perlindungan udara selepas Russia melancarkan serangan udara. – Gambar EPA, 12 Oktober, 2022.

PRESIDEN Ukraine Volodymyr Zelensky merayu kepada negara Barat supaya membantu negara itu membina perlindungan udara selepas Russia melancarkan serangan udara berdarah.

Zelensky memberitahu negara Kumpulan Tujuh (G7) yang kaya raya jika mereka membantu Ukraine, jutaan rakyatnya akan bersyukur kerana dilindungi daripada serangan udara.

Beliau turut memberi amaran Russia masih ada ruang dan peluang untuk mencetuskan ketegangan lanjut selepas serangan berdarah peluru berpandu di seluruh negara itu.

Susulan serangan itu, Washington berjanji akan menyalurkan bantuan pertahanan udara kepada Ukraine.

Jerman pula berjanji akan menghantar pelindung peluru berpandu, Iris-T yang berkeupayaan melindungi bandar itu dalam tempoh beberapa hari lagi.

Pemimpin negara G7 berkata rancangan Belarus untuk mengerahkan tentera bersama dengan Russia adalah membentuk satu contoh subahat baharu dengan Moscow.

Sehubungan itu, mereka memberi amaran kepada Minsk supaya berhenti memberi laluan kepada Russia untuk meneruskan pencerobohan.

Selepas berbincang dengan Zelensky, pemimpin G7 berkata mereka akan menuntut Presiden Russia Vladimir Putin memberi penjelasan mengenai serangan itu tetapi tidak memperincikan bagaimana untuk berbuat demikian.

Sebelum mesyuarat G7, Kremlin berkata pihaknya sudah menjangkakan konfrontasi dengan Barat akan berterusan.

Russia menyusuli serangan peluru berpandu pada awal minggu ini dan beberapa serangan menerusi udara semalam. – AFP, 12 Oktober, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen