Polis Indonesia soal siasat kru Equanimity atas permintaan FBI


Pihak berkuasa Indonesia diatas kapal layar 'Equanimity' yang dilaporkan bernilai AS$250 juta dan dimiliki oleh Jho Low. Kapal itu disita pada Rabu di Bali. – Gambar AFP, 1 Mac, 2018.

POLIS Indonesia hari ini menyoal siasat anak kapal Equanimity, iaitu kapal layar yang semalam disita di Bali, atas permintaan pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) yang menyiasat penyelewengan dan penggubahan haram wang dari dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB), lapor Reuters.

Jurucakap polis Indonesia, Muhammad Iqbal Abduh memberitahu Reuters yang penguatkuasa undang-undang kini sedang meneliti dokumen perjalanan bagi mendapatkan bukti jenayah yang dilakukan.

Pihak polis katanya bertindak atas permintaan Biro Penyiasatan Persekutuan AS (FBI) yang telah memohon bantuan untuk menguatkuasakan perintah mahkamah dalam satu surat bertarikh 21 Februari.

Menurut Iqbal, berdasarkan maklumat dari FBI, Sistem Pengenalan Automatik (AIS) Equanimity telah beberapa kali dimatikan di perairan sekitar Filipina dan Singapura, menjadikannya sukar dijejaki.

Reuters melaporkan, data perkapalan Thomson Reuters Eikon menunjukkan sejak enam bulan lalu, Equanimity telah belayar dari timur laut ke barat laut Malaysia dan Singapura. Kemudian, dari Pulau Bali ke Papua dan berpatah balik. Pergerakannya tidak jelas di beberapa titik,mungkin disebabkan AIS dimatikan.

Iqbal berkata pihak berkuasa Indonesia tidak mencari Low Taek Jho atau Jho Low, yang didakwa pemilik kapal layar bernilai RM1 bilion itu dan dalang di sebalik skim menipu dana 1MDB.

“Kami ada kewajipan untuk mencari semua yang ada dalam senarai atau (sesiapa) yang terkandung dalam notis merah Interpol. Tapi saya tak nampak nama itu,” Ketua Unit Siasatan Jenayah Khas, Agung Setya memberitahu Reuters.

Susulan penyitaan Equanimity itu, Low menerusi peguamnya menuduh tindakan Jabatan Kehakiman AS (DoJ) “melampau” kerana hanya berdasarkan dakwaan tanpa bukti.

Low yang kini tidak diketahui keberadaannya berkata DoJ “masih belum mengambil sebarang tindakan untuk membuktikan berlaku sebarang salah laku”.
 
DoJ dalam saman sivilnya mendakwa AS$4.5 juta telah diseleweng dari dana 1MDB, yang diasaskan oleh Perdana Menteri Najib Razak.

Saman itu bertujuan untuk merampas aset bernilai AS$1.7 bilion yang didakwa dibeli menggunakan wang yang dicuri dari 1MDB, termasuk Equanimity.

Kapal layar yang didaftarkan di Kepulauan Cayman itu boleh memuatkan 26 orang dan dilengakapi dengan pad pendaratan helikopter. – 1 Mac, 2018.        


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen