PERKEMBANGAN politik semasa menggambarkan bahawa Umno gagal merasai denyutan nadi rakyat dan gagal untuk bersama rakyat dalam situasi pemulihan ekonomi serta keadaan cuaca yang amat mencabar.
Pembentangan Belanjawan 2023 sia-sia, membazir sumber tenaga dan masa anggota perkhidmatan awam yang telah berhempas pulas untuk mengerah fikrah dan tenaga bagi menyediakan belanjawan.
Keutamaan kita seharusnya ditumpukan untuk membantu rakyat mengharungi cabaran semasa dan memulakan kehidupan yang lebih terjamin.
-2.jpg)
Pendirian Perikatan Nasional tuntas dan bertanggungjawab supaya tumpuan sepenuhnya diberikan kepada usaha mencerdaskan dan memulihkan ekonomi negara.
Ia termasuk menyediakan bantuan kewangan buat para peniaga kecil bagi meneruskan aktiviti perniagaan, melanjutkan moratorium untuk tempoh yang lebih munasabah, mengawal inflasi serta terus berusaha mencipta peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia.
Kerajaan Perikatan Nasional melaksanakan pakej rangsangan ekonomi bernilai RM530 bilion yang menyentuh dan memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat termasuk peniaga kecil, orang bujang, majikan dan pekerja serta industri. Inilah Perikatan Nasional yang fokus untuk memulihkan ekonomi rakyat dan negara.
Pertumbuhan ekonomi negara pada suku tahun kedua 2022 sebanyak 8.9% dan prestasi pelaburan serta perdagangan yang amat memberangsangkan adalah hasil langsung daripada Dasar Pelaburan Baharu negara yang diluluskan oleh Kerajaan Perikatan Nasional pada April 2021.
Menyelami aspirasi rakyat, Perikatan Nasional senantiasa komited untuk berkhidmat dan menjamin kesejahteraan anak watan. Tahun 2021, Kerajaan Perikatan Nasional telah mencipta hampir 300,000 peluang pekerjaan baharu dan sehingga suku kedua tahun 2022 telah melonjak kepada 539,000 peluang pekerjaan yang diberikan kepada rakyat Malaysia.
Dalam tempoh pentadbiran Perikatan Nasional, seluruh warga Felda telah menikmati manfaat daripada penghapusan hutang yang ditanggung bertahun-tahun oleh peneroka Felda.
Perikatan Nasional juga menekankan peri pentingnya Kerajaan untuk memberi tumpuan kepada usaha-usaha bagi menghadapi kemungkinan banjir besar akibat Monsun Timur Laut bermula Oktober sehingga awal tahun hadapan.
Ini termasuklah persiapan dari segi kelengkapan aset penting, bantuan makanan dan keperluan asas, akses kepada perkhidmatan kesihatan serta bantuan pasca banjir. Inilah Perikatan Nasional yang senantiasa meletakkan kepentingan dan keselamatan rakyat sebagai agenda terpenting.
Hakikatnya, ada parti politik yang tidak mahu melihat peratusan keluar mengundi tinggi kerana peratusan keluar mengundi yang rendah akan memberi lebih peluang kepada parti berkenaan untuk menang. Inilah wajah sebenar mengapa PRU15 diadakan dalam musim hujan lebat dan kemungkinan banjir besar.
Walau bagaimanapun, Perikatan Nasional tidak gentar dengan kedegilan dan keangkuhan Umno. Perikatan Nasional akan menyertai pilihan raya dengan tekad untuk meneruskan agenda prihatin rakyat serta mengangkat martabat umat dan negara.
Perikatan Nasional siap siaga untuk menyertai PRU15 dengan semangat yang tinggi bagi menyelamatkan negara dan rakyat Malaysia.
Perikatan Nasional beriltizam untuk terus mengorak langkah menjana kekayaan negara, memacu pertumbuhan ekonomi lestari, menyediakan peluang pekerjaan berkualiti, meningkatkan taraf kehidupan rakyat dan menjamin kemakmuran bersama.
Justeru, saya menyeru seluruh rakyat Malaysia yang layak mengundi untuk keluar beramai-ramai bagi melaksanakan tanggungjawab sebagai rakyat demi masa depan nusa dan bangsa. – 11 Oktober, 2022.
* Mohamed Azmin Ali ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen