Mexico nafi perjanjian angkasa lepas Rusia bantu pengintipan


Presiden Mexico Andres Manuel Lopez Obrador menafikan dakwaan perjanjian kerjasama angkasa lepas yang dibuat sebelum pencerobohan di Ukraine akan membantu Moscow mengintip Amerika Utara. – Gambar EPA, 11 Oktober, 2022.

PRESIDEN Mexico Andres Manuel Lopez Obrador pada Isnin menafikan dakwaan yang perjanjian kerjasama angkasa lepas ditandatangani dengan Rusia tahun lepas akan membantu Moscow mengintip Amerika Utara.

Perjanjian itu telah ditandatangani sebelum pencerobohan Rusia ke atas Ukraine dan “kini skandal sedang dibuat kerana terdapat cakap-cakap Mexico membenarkan satelit Rusia digunakan untuk mengintip ruang udara Mexico dan Amerika Utara,” kata Lopez Obrador kepada wartawan.

“Sebenarnya perjanjian tersebut ditandatangani dengan semua negara dan tidak bertujuan untuk mengintip sesiapa atau menjejaskan kedaulatan mana-mana negara,” tambahnya.

Kementerian luar Mexico berkata pakatan itu, yang ditandatangani pada September 2021, memberi tumpuan kepada “penerokaan dan penggunaan angkasa lepas untuk tujuan aman.”

Kedutaan Rusia di Mexico mencetuskan kekecohan minggu lepas apabila ia berkata di media sosial perjanjian itu menyediakan kemungkinan pemasangan stesen sistem navigasi satelit Rusia di wilayah Mexico.

Kremlin telah menggembar-gemburkan sistemnya, GLONASS, sebagai alternatif unggul kepada Sistem Kedudukan Global (GPS) AS.

Namun GLONASS “tidak akan dipasang di Mexico,” kata Menteri Luar Mexico Marcelo Ebrard tweet.

Perjanjian dengan Moscow “tidak menyebut atau memasukkannya dan ia tidak dirancang untuk memasangnya di negara kita,” tambahnya.

Minggu lepas Duta Besar Amerika Syarikat (AS) Ken Salazar memuji “pertemuan bersejarah” antara kerajaan negeri Zacatecas dan wakil agensi AS termasuk Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) dan Pentadbiran Penguatkuasaan Dadah (DEA).

Perlembagaan Mexico “dengan tegas melarang kerajaan negeri daripada menandatangani perjanjian dengan kerajaan asing,” kata Lopez Obrador.

Tetapi Mexico tidak akan “membuat skandal” untuk mengekalkan hubungan diplomatik yang baik, tambahnya. – AFP, 11 Oktober, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen