.jpg)
PEMBUBARAN Parlimen oleh Yang di-Pertuan Agong atas permintaan perdana menteri semalam membuktikan Ahmad Zahid Hamidi yang sebenarnya berkuasa di negara ini dan bukannya Ismail Sabri Yakob.
Sejak awal lagi kehendak Ismail, selaku perdana menteri untuk menangguhkan PRU15 hingga ke tahun depan, tidak berhasil.
Ini kerana kuasa sebenar tetap berada di tangan Zahid selaku presiden Umno dan pengerusi BN. Maka keputusan tarikh PRU15 diputuskan mengikut kepentingan parti dan peribadi Zahid.
Maka episod ini mendedahkan kedudukan sebenar Ismail Sabri, iaitu seorang perdana menteri patung atau boneka yang bergerak dan bersuara di atas perintah dan keputusan yang dibuat Umno pimpinan presidennya Zahid.
Oleh itu, apabila kempen pilihan raya berjalan nanti, walaupun muka Ismail Sabri mungkin ditayangkan (poster boy) sebagai calon perdana menteri, bukan dia yang akan berkuasa kelak.
Zahid tetap berada di “driver’s seat” dan beliau akan menentukan jalan dibuka seluasnya untuk bukan saja beliau tetapi juga Najib Razak akan kembali berkuasa dan negara akan sekali lagi dikuasai golongan kleptokrat (atau perompak dan penyamun ini).
Oleh itu rakyat semua perlu sedar perjuangan menolak kleptokrat yang diusahakan dengan jayanya semasa PRU14 masih belum selesai. Mereka ingin kembali berkuasa dan rakyat wajib bangun kembali untuk menggagalkan usaha mereka ini melalui PRU15 yang bakal menjelang.
Pada masa sama, pembubaran Parlimen semalam juga membuktikan PAS sejak dari awal lagi silap langkah dalam keputusan dan tindakan politiknya yang natijahnya mungkin akan mengukuhkan kembali kedudukan perompak dan penyamun di negara ini.
Keputusan PAS untuk bersama dengan Umno dan para pengkhianat Pakatan Harapan (PH) dari Bersatu dan beberapa ahli Parlimen PKR yang menyertai Langkah Sheraton terbukti menghidupkan semula kuasa politik perompak dan penyamun wang negara.
Perjuangan PH untuk bersama rakyat menolak politik kleptokrat telah dikhianati PAS dan Bersatu. Sekiranya budaya politik kleptokrat kembali berkuasa, ia adalah hasil kebodohan PAS dan Bersatu pimpinan Muhyiddin Yassin.
Tidak ketinggalan dalam persoalan ini adalah Azmin dan Zuraidah. Mereka menghidupkan kleptokrat setelah dijatuhkan rakyat dan PH.
Usaha PAS yang tidak pernah serik untuk terus bersama dengan Umno terbukti kini umpama “hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong” apabila ditolak mentah-mentah oleh Umno.
Setelah PAS berjaya diperalatkan Umno/BN, maka PAS dibuang seperti peribahasa Melayu, “habis madu, sepah dibuang”.
PAS pasti sedar usaha untuk bersama Umno sekarang adalah hanya untuk menyelamatkan kedudukan PAS yang sedang selesa berkuasa dan bukan atas nama kebenaran dan keadilan.
Jika mereka menang bersama sekalipun, mereka bakal menguatkan lagi kedudukan politik perompak dan penyamun di negara ini.
Namun, apakan daya, kekuasaan itu sangat manis dan memabukkan bagi golongan lupa daratan seperti pimpinan PAS. Semakin jelas wajah mereka sebagai penjual agama.
Oleh itu, rakyat perlu faham senario ini dan membuat keputusan yang tepat dalam pilihan raya umum akan datang agar kita semua tidak tertipu lagi akan kehendak perompak dan penyamun untuk terus hidup dan terus menyakau wang negara.
Mari kita gunakan undi kita untuk menghukum perompak dan penyamun serta rakan-rakan kongsi jenayah mereka dalam pilihan raya umum kali ini untuk selama-lamanya.
Mari kita tamatkan riwayat politik kleptokrat dan penjual agama buat selama-lamanya. – 11 Oktober, 2022.
* Khalid Abd Samad adalah ahli Parlimen Shah Alam dan pengarah komunikasi Amanah.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen