SEORANG ahli politik berpengaruh Amerika Syarikat (AS) mendesak kerajaan membekukan semua kerjasama dengan Arab Saudi selepas Riyadh bersetuju dengan Moscow serta pengeluar minyak terkemuka lain untuk mengurangkan pengeluaran bahan api itu minggu lalu.
Keputusan itu bakal meningkatkan harga minyak mentah, dikecam AS kerana mendakwa langkah Moscow serta pengeluar minyak lain hanya akan menjejaskan ekonomi global.
Senator Bob Menendez yang juga pengerusi Jawatankuasa Perhubungan Luar Senat dalam satu kenyataan, berkata kerajaan AS perlu tegas dengan keputusan berkaitan perkara itu dan membuat pilihan sama ada menyokong bersama negara lain yang cuba menghalang penjenayah perang daripada terus mengganas atau sebaliknya.
“Kerajaan Arab Saudi membuat pilihan hanya kerana didorong kepentingan ekonominya sendiri,” katanya.
Arab Saudi yang mengetuai Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dianggotai 13 negara termasuk Russia bersetuju untuk mengurangkan pengeluaran minyak sebanyak dua juta tong sehari mulai bulan depan, sekali gus meningkatkan kebimbangan harga minyak melambung tinggi.
Arab Saudi berkata keutamaan OPEC adalah mengekalkan pasaran minyak yang mampan tetapi langkahnya mendapat teguran pantas daripada Washington, yang mengetuai usaha mengasingkan pengeluar tenaga utama Russia berhubung pencerobohannya terhadap Ukraine.
Menendez berkata kerajaan AS perlu segera membekukan semua aspek kerjasama dengan Arab Saudi, termasuk sebarang penjualan senjata dan kerjasama keselamatan melebihi apa yang benar-benar diperlukan untuk mempertahankan kakitangan dan kepentingan AS.
“Sebagai pengerusi Jawatankuasa Perhubungan Luar Senat, saya akan bantah sebarang kerjasama dengan Riyadh sehingga kerajaan negara berkenaan menilai semula kedudukannya berkenaan dengan perang di Ukraine,” katanya.
Beliau yang juga pengkritik lantang Riyadh, sebelum ini turut menyelar dan menyokong kempen sekatan terhadap kerabat diraja Arab Saudi yang mendakwa ada kaitan dengan kes pembunuhan kolumnis Washington Post, Jamal Khashoggi pada 2018, yang mana risikan AS membuat dakwaan ada pembabitan keluarga diraja dalam kes itu. – AFP, 11 Oktober, 2022.
Komen