PEMILIHAN juri bermula semalam di Los Angeles bagi perbicaraan tokoh filem Hollywood Harvey Weinstein, dengan lima mangsa dijangka memberikan keterangan sepanjang dua bulan.
Penerbit filem “Pulp Fiction” berusia 70 tahun itu sedang menjalani hukuman penjara 23 tahun di New York selepas disabitkan bersalah dalam pertuduhan jenayah seks.
Beliau kini berdepan 11 lagi pertuduhan termasuk melakukan seks ganas dengan mengikat, merogol beberapa wanita di hotel Beverly Hills dan Los Angeles antara 2004 dan 2013.
Jika disabitkan, Weinstein – yang mengaku tidak bersalah atas semua tuduhan – boleh dijatuhi hukuman penjara lebih 100 tahun.
Weinstein, yang menggunakan kerusi roda, memakai suit biru gelap dengan tali leher biru muda tampil di mahkamah semalam.
Kesnya dikendalikan Hakim Lisa Lench.
Tuduhan salah laku seksual dan gangguan seksual terhadap Weinstein tercetus pada Oktober 2017, dan dengan sabitannya di New York pada 2020, ia menjadi petanda penting dalam gerakan #MeToo.
Pada Jun, beliau tewas dalam permohonan membatalkan sabitan jenayah seks yang dikenakan terhadapnya. Beliau juga dituduh secara berasingan pada 1996 oleh pendakwa raya Britain kerana menyerang wanita di London.
Secara keseluruhan, hampir 90 wanita temrasuk Angelina Jolie, Gwyneth Paltrow dan Salma Hayek menuduh Weinstein melakukan gangguan atau serangan seksual. – AFP, 11 Oktober, 2022.
Komen