Biden janji bekal Ukraine sistem pertahanan udara canggih


Presiden AS Joe Biden berjanji dengan sekutu Ukraine untuk membekalkan sistem pertahanan udara canggih berikutan serangan peluru berpandu Rusia ke atas Kyiv. – Gambar EPA, 11 Oktober, 2022.

PRESIDEN Amerika Syarikat (AS) Joe Biden pada Isnin berjanji untuk menyediakan sistem pertahanan udara canggih ke Ukraine selepas peluru berpandu Rusia menghujani ibu negara Kyiv dan bandar-bandar lain, kata Rumah Putih dalam satu kenyataan.

Biden yang bercakap dengan Presiden Volodymyr Zelensky berkata beliau “berjanji untuk terus menyediakan Ukraine dengan sokongan yang diperlukan untuk mempertahankan diri, termasuk sistem pertahanan udara canggih,” kata kenyataan itu.

Presiden Rusia Vladimir Putin telah mengancam mempertingkatkan serangan terhadap Ukraine selepas gelombang serangan terbesar dalam beberapa bulan membunuh sekurang-kurangnya 11 sebagai tindakan balas terhadap letupan yang merosakkan jambatan utama menghubungkan Rusia ke semenanjung Crimea.

Selepas bercakap dengan Biden, Zelensky berkata di Twitter yang “pertahanan udara kini menjadi keutamaan nombor satu dalam kerjasama pertahanan kami.”

Kyiv berkata tentera Rusia telah melancarkan lebih daripada 80 peluru berpandu ke atas bandar di seluruh negara selain Rusia juga menggunakan dron Iran yang dilancarkan dari negara jiran Belarus.

Biden “menyampaikan ucapan takziah kepada orang tersayang mereka yang terbunuh dan cedera dalam serangan tidak masuk akal ini,” kata Rumah Putih.

“Beliau juga menekankan penglibatan berterusannya dengan sekutu dan rakan kongsi untuk terus mengenakan sekatan ke atas Rusia (dan) memastikan Rusia bertanggungjawab atas jenayah perang dan kekejamannya.” – AFP, 11 Oktober, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen