PBB gesa penempatan tentera antarabangsa di Haiti


Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres bimbang perkembangan di Haiti yang berdepan penularan wabak taun ketika keselamatan negara semakin lumpuh. – Gambar EPA, 10 Oktober, 2022.

SETIAUSAHA Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) António Guterres pada Ahad menggesa penempatan tentera antarabangsa ke Haiti untuk membantu menangani krisis kemanusiaan, kata jurucakap PBB Stephane Dujarric dalam satu kenyataan.

Setiausaha Agung itu menyuarakan kebimbangan terhadap perkembangan di Haiti yang berdepan penularan wabak taun di tengah-tengah keselamatan negara semakin lumpuh, menurut kenyataan itu.

Kumpulan-kumpulan tertentu dilaporkan mengawal terminal bahan api Varreux di Port-au-Prince manakala perkhidmatan kritikal termasuk pengagihan air bersih, makanan dan bekalan perubatan diperlukan untuk mencegah penularan penyakit berkenaan, lapor Xinhua.

Guterres pada Ahad menyerahkan surat kepada Majlis Keselamatan untuk meningkatkan sokongan keselamatan kepada Haiti.

Ketua PBB itu turut menyeru pihak berkepentingan Haiti untuk mengetepikan perbezaan mereka dan melibatkan diri dalam sesi dialog yang inklusif secepat mungkin. – Bernama, 10 Oktober, 2022.     


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen