Perutusan khas PM petang ini, dijangka berkait bubar Parlimen


Spekulasi mengenai pembubaran Parlimen semakin giat diperkatakan selepas Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah semula semalam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Oktober, 2022.

PERDANA Menteri Ismail Sabri Yaakob dijadualkan untuk menyampaikan satu perutusan khas melalui siaran langsung TV petang ini yang dijangka berkait dengan pembubaran Parlimen.

Satu poster grafik yang disiarkan Ismail di pelantar media sosial menyebut, perutusan khas itu akan dipancar jam 3 petang oleh beberapa penyiar utama termasuk RTM dan Bernama.

The Malaysian Insight juga akan menyiarkan perutusan itu secara langsung di saluran Youtube kami.

Spekulasi mengenai pembubaran Parlimen itu semakin giat diperkatakan selepas beliau menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah semula semalam.

Pembubaran tersebut ditolak pembangkang dan juga parti dalam pentadbiran Ismail sendiri waktu ini termasuk PAS dan Bersatu yang menggesa pilihan raya ditangguhkan ke tahun hadapan.

Parti diwakili Ismail, Umno, yang juga parti tunjang Barisan Nasional (BN) bagaimanapun tidak berganjak dalam tuntutan agar Parlimen dibubarkan segera untuk mengadakan pilihan raya umum.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi pada minggu menyatakan keyakinan bahawa Al-Sultan Abdullah akan menzahirkan persetujuan mengikut Perlembagaan Persekutuan.

Pembubaran Parlimen merupakan fungsi eksekutif, dilaksanakan oleh Baginda atas nasihat perdana menteri. Ia termaktub dalam Perkara 40 dan 43 Perlembagaan.

Di bawah Perkara 40(1) dan (1A), jelas Yang di-Pertuan Agong pada lazimnya mesti bertindak atas nasihat Jemaah Menteri.

Pilihan Raya Umum ke-15 perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas Parlimen dibubarkan.

MetMalaysia memberi amaran negara akan menghadapi monsun timur laut pada bulan November.

Tahun lepas, banjir buruk pada musim tengkujuh itu menyebabkan kemalangan jiwa dan kerosakan teruk  di 11 negeri. – 10 Oktober, 2022.     


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen