DEWAN Rakyat akan bersidang seperti yang dirancang esok untuk membahaskan Bajet 2023, kata Speaker Azhar Azizan Harun ketika spekulasi timbul mengenai pembubaran Parlimen tidak lama lagi bagi memberi laluan kepada pilihan raya umum.
Azhar seperti yang dilaporkan dalam Berita Harian hari ini berkata pejabatnya masih belum menerima sebarang makluman mengenai pembubaran itu.
“Ya (sidang) diteruskan, macam biasa, kecuali saya dimaklumkan apa-apa, setakat ini tiada sebarang pemakluman, saya tidak tahu benda ini (pembubaran Parlimen) kerana ia adalah kuasa Perdana Menteri dan Yang di-Pertuan Agong.
“Esok akan berlangsung waktu pertanyaan menteri (MQT), pertanyaan lisan dan diteruskan dengan pembahasan Bajet 2023,” katanya seperti yang dipetik Berita Harian hari ini.
Semalam Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan menghadap Yang di-Pertuan Agong Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara berhubung pembubaran Parlimen.
Ada spekulasi mengatakan Ismail akan membuat pengumuman dalam tempoh 48 jam akan datang.
Malam tadi Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berangkat ke London untuk lawatan rasmi sehingga 16 Oktober.
Azhar adalah antara mereka yang mengiringi keberangkatan Yang di-Pertuan Agong di lapangan terbang.
Ketika diminta mengulas mengenai kehadirannya di sana Azhar berkata tidak ada “perbincangan langsung” mengenai sebarang pembubaran ketika beliau berada di lapangan terbang.
Beliau juga berkata adalah perkara biasa baginya untuk hadir mengiringi Agong dalam kapasiti beliau sebagai speaker. – 10 Oktober, 2022.
Komen