Pemimpin muda bakal ambil alih dalam PRU15


Jahabar Sadiq

Sejarah akan tercipta dengan kumpulan pengundi baharu yang bakal mengundi pemimpin sebaya mereka untuk mengambil alih pentadbiran apabila Parlimen dibubarkan hari ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Oktober, 2022.

APABILA Parlimen dibubarkan seawal hari ini, sejarah akan tercipta dengan kumpulan pengundi baharu yang bakal mengundi pemimpin sebaya mereka untuk mengambil alih pentadbiran.

Perubahan ini dijangka memberi kesan mendalam seperti pilihan raya umum 1982 yang menonjolkan pemimpin muda Anwar Ibrahim.

Ia berlangsung 40 tahun lalu sewaktu Dewan Rakyat hanya mempunyai 154 anggota dan parti Barisan Nasional (BN) pimpinan Dr Mahathir Mohamad pada masa itu menang besar 132 kerusi.

Kini ada 222 kerusi Dewan Rakyat dan BN hanya tinggal bayang.

Pada hari ini juga, Ismail Sabri Yaakob yang tidak berapa dikenali sudah menjadi perdana menteri selama hampir 14 tahun dan Anwar pula masih cuba merebut jawatan itu.

Anggota Team Wawasan lain dalam Umno seperti Muhyiddin Yassin dan Ahmad Zahid Hamidi masih kekal dalam pertandingan ini.

Seorang lagi anggota Team Wawasan, Najib Razak, berjaya merangkul jawatan tersebut tetapi tewas pada 2018 dan kini menjalani hukuman penjara 12 tahun.

Sebilangan lagi pemimpin generasi Anwar mungkin akan bertanding, mungkin buat kali terakhir.

Namun pemimpin pascamerdeka seperti Ismail dan yang lebih muda seperti Khairy Jamaluddin dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman akan menjadi pemimpin untuk beberapa dekad akan datang.

Ada dalam kalangan ahli politik ini mahu pilihan raya umum diadakan sebelum mandat Dewan Rakyat berakhir pada Julai 2023 tapi parti Ismail Sabri mahu ia diadakan sekarang juga, walaupun negara berdepan ancaman banjir musim tengkujuh.

Mereka mengambil pedoman dari pilihan raya 29 November 1999, sewaktu Dr Mahathir cuba mengukuhkan kedudukannya sebagai perdana menteri selepas Anwar dipenja atas salah guna kuasa.

BN kehilangan kuasa di Terengganu dan juga 14 kerusi menyebabkan parti itu hanya menguasai 148 dari 193 kerusi Dewan Rakyat.

Pilihan raya itu diadakan pada musim tengkujuh yang biasanya membadai negeri pantai timur Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Keadaan sama mungkin berlaku dalam pilihan raya yang dijangka diadakan pada pertengahan November.

Bagaimanpun pemimpin BN percaya kesan yang berlaku ekoran pertukaran kerajaan sebanyak dua kali sejak 2018 akan memberi peluang baik kepada mereka.

Lagi pula, mereka berjaya menang pilihan raya negeri Melaka dan Johor dengan meyakinkan walau terdapat pemilih baharu yang sudahpun dapat mengundi secara automatik apabila berusia 18 tahun.

Menurut individu yang dekat dengan pemimpin Umno tertinggi, pemimpin muda ini masih lagi satu faktor yang jelas dan tidak memberi kelebihan kepada mana-mana gabungan yang ingin menang PRU15.

Faktor lain termasuk tempoh pentadbiran singkat sejak 2018 bawah Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) dan juga bawah Ismail Sabri.

Ia melibatkan nama pemimpin yang menjawat kedudukan dalam ketiga-tiga pentadbiran tersebut yang boleh mengelirukan pengundi.

Selain itu Umno percaya hukuman penjara Najib boleh memberi lebih undi di kubu mereka dan mengurangkan kebencian di mata pengundi yang menolak parti itu pada 2018 atas peranan bekas perdana menteri itu dalam skandal 1MDB.

Namun kemenangan PRU15 itu dijangka akan bergantung kepada tarikan pengundi baharu pada barisan calon baharu.

Ia akan memacu Malaysia ke hadapan seperti dilakukan Dr Mahathir pada 1982 sewaktu beliau menyingkirkan ahli politik generasi Merdeka yang berkhidmat dalam pentadbiran Tunku Abdul Rahman, Abdul Razak Hussein dan Hussein Onn dari 1959-an hingga awal 1980-an. – 10 Oktober, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen