76 maut dalam kemalangan bot di Nigeria


Sejak permulaan musim hujan, banyak wilayah Nigeria telah dilanda banjir. – Gambar EPA, 9 Oktober, 2022.

PRESIDEN Nigeria Muhammadu Buhari berkata seramai 76 orang maut apabila sebuah bot lebih muatan terbalik di tenggara Nigeria.

Kira-kira 85 orang berada di dalam bot berkenaan ketika kemalangan berlaku pada Jumaat di kawasan yang musnah akibat banjir.

“Bot itu dilaporkan membawa 85 orang penumpang terbalik berikutan banjir di kawasan Ogbaru dengan badan kecemasan mengesahkan angka kematian melibatkan 76 orang,” kata pejabat Buhari memetik beliau sebagai berkata.

Beliau mengarahkan perkhidmatan kecemasan memberikan bantuan kepada mangsa.

Kemalangan bot adalah perkara biasa di Nigeria disebabkan muatan berlebihan, kelajuan, penyelenggaraan yang lemah dan mengabaikan peraturan lalu lintas.

Sejak permulaan musim hujan banyak wilayah Nigeria dilanda banjir.

Lebih 300 orang terbunuh dan sekurang-kurangnya 100,000 kehilangan tempat tinggal dalam insiden terburuk di negara itu sejak 2012, menurut perkhidmatan kecemasan.

Beribu-ribu tanah ladang dan tanaman juga dihanyutkan oleh banjir, mencetuskan ketakutan kekurangan makanan, kebuluran dan kelaparan di negara yang bergelut dengan kesan pandemik Covid-19 dan perang di Ukraine. – AFP, 10 Oktober, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen