22 maut, lebih 50 hilang dalam kejadian tanah runtuh di Venezuela


Penduduk Laguna de Las Peonias yang terjejas dalam kejadian banjir di Maracaibo, Venezuela. Tanah runtuh di negara itu menyebabkan 22 orang maut dan lebih 50 hilang. – Gambar EPA, 10 Oktober, 2022.

TANAH runtuh di tengah Venezuela menyebabkan sekurang-kurangnya 22 orang maut dan lebih 50 hilang dalam bencana maut terbaharu akibat hujan lebat yang melanda negara itu, kata pegawai semalam.

Puluhan orang maut dalam beberapa bulan kebelakangan ini di negara Amerika Selatan yang dilanda krisis akibat hujan yang banyak dalam sejarah.

Naib Presiden Delcy Rodriguez berkata terdapat banyak kerosakan ketara di kawasan itu dengan ramai mangsa yang hilang.

“Kami menjumpai 22 mangsa maut dan lebih 52 orang hilang.

“Kami sedang berusaha mencari mereka yang hilang,” katanya kepada media tempatan.

Rumah dan perniagaan musnah serta jalan-jalan di bandar itu dipenuhi lumpur dan serpihan termasuk kayu, barangan rumah dan kereta yang remuk.

Menteri Dalam Negeri dan Kehakiman Remigio Ceballos berkata kira-kira 1,000 orang menyertai usaha menyelamat.

Penduduk tempatan menggali sisa-sisa rumah yang rosak bagi mencari mangsa yang hilang manakala pasukan penyelamat bersama anjing mencari mangsa yang terperangkap di dalam runtuhan.

Imej yang diambil menerusi dron pasukan penyelamat menunjukkan tanah menimbus jalan raya ketika penduduk cuba menyodok keluar lumpur yang mengalir ke dalam rumah mereka.

Presiden Nicolas Maduro mengisytiharkan negara itu berkabung selama tiga hari manakala rakyat Venezuela dilihat menggunakan media sosial untuk menawarkan bantuan kepada mangsa terlibat.

Tanah runtuh yang disebabkan oleh banjir sungai terbesar di kawasan itu dalam tempoh 30 tahun di negara berkenaan disebabkan oleh paras hujan yang banyak dalam beberapa bulan kebelakangan ini.

Pada Ogos sekurang-kurangnya 15 orang maut di Andes Venezuela selepas hujan lebat menyebabkan banjir lumpur.

Pada September sekurang-kurangnya lapan orang maut apabila banjir akibat hujan lebat melanda negara itu.

Pada 1999 tanah runtuh besar membunuh kira-kira 10,000 orang di Vargas, utara Caracas. – AFP, 10 Oktober, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen