Pembubaran Parlimen mungkin seawal esok, kata laporan


Akhbar harian tempatan berbahasa Inggeris melaporkan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk pembubaran Parlimen hari ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Oktober, 2022.

PERDANA Menteri Ismail Sabri Yaakob menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah semula hari ini, lapor The New Straits Times.

Akhbar berbahasa Inggeris itu melaporkan perdana menteri bertemu Agong bagi mendapat perkenannya untuk membubarkan Parlimen.

“Pembubaran Parlimen mungkin seawal esok,” kata sumber.

Turut dilaporkan Ismail Sabri akan menghantar Yang di-Pertuan Agong bagi lawatan khasnya ke United Kingdom selama seminggu bermula esok hingga 16 Oktober.

Lawatan khas Agong dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ke London termasuk pertemuan dengan Raja Charles III di Istana Buckingham pada 12 Oktober.

Tidak ramai wakil akhbar berada di Istana Negara kerana sebahagian besarnya menghadiri majlis sambutan Maulidur Rasul peringkat kebangsaan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur. – 9 Oktober 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen