AKTIVIS digital yang menyokong gelombang protes diketuai wanita Iran menggodam siaran berita langsung televisyen tempatan dengan menindih wajah pemimpin tertinggi negara itu, Ayatollah Ali Khamenei bersama simbol sasaran tembakan.
“Darah belia kami ada di tangan anda” antara mesej kelihatan di skrin dalam siaran yang bermula 9 malam (waktu tempatan) itu, ketika protes tercetus susulan kematian Mahsa Amini, 22, menggegarkan Tehran dan bandar-bandar lain.
Penggodaman itu mengganggu rakaman Khamenei yang bertemu pegawai negara tersebut dan ia didalangi kumpulan penggodam Edalat-e Ali (Keadilan Ali), sambil menambah slogan di sudut kanan atas skrin: “Sertai kami dan bangkit.”
Imej yang dipancarkan kepada penonton Iran selama beberapa saat juga menunjukkan gambar hitam putih Amini dan tiga wanita lain yang terbunuh dalam lebih tiga minggu pergolakan dan tindakan keras pasukan keselamatan Iran.
Kemarahan semakin memuncak selepas kematian Amini pada 16 September, tiga hari selepas penahanannya di Tehran oleh pihak polis kerana didakwa kerana melanggar peraturan tegas berhijab republik Islam itu terhadap wanita.
Penggodaman itu dilaporkan secara meluas media Parsi dan kumpulan hak asasi manusia berpangkalan di luar Iran yang turut berkongsi rakaman itu di media sosial.
Sementara itu, agensi berita Tasnim mengesahkan siaran berita petang itu “digodam beberapa saat oleh ejen anti-revolusi”.
Dalam video yang disiarkan secara dalam talian, pemberita dilihat beralih tempat duduk dengan tidak selesa selepas klip itu selesai, dengan reaksi jelik turut dikongsi secara meluas di media sosial, walaupun sekatan internet baru-baru ini.
Penggodam itu menambah mesej pada skrin, menggesa Khamenei meletakkan jawatan dan meninggalkan negara itu.
“Sudah tiba masanya untuk mengosongkan perabot anda dari Pasteur Street dan mencari tempat lain untuk keluarga anda di luar Iran.” – AFP, 9 Oktober, 2022.
Komen