Van der Bellen dijangka pertahan jawatan presiden Austria


Penyandang jawatan presiden Austria, Alexander Van der Bellen dilihat sebagai simbol kestabilan ketika negara itu bergelut dengan krisis tenaga dan inflasi. – Gambar EPA, 9 Oktober, 2022.

RAKYAT Austria mengundi dalam pilihan raya presiden hari ini dengan penyandangnya, Alexander Van der Bellen dijangka mempertahankan kedudukannya.

Ini kerana Van der Bellen dilihat sebagai simbol kestabilan ketika anggota EU Alpine itu bergelut dengan krisis tenaga dan inflasi.

Membawa slogan “jelas” semasa berkempen, Van der Bellen dijangka meraih mandat untuk penggal kedua, selepas enam pencabarnya berada jauh di belakang.

“Pesaing terbesar hari ini ialah sofa,” kata profesor ekonomi berusia 78 tahun itu pada perhimpunan kempen terakhirnya, merayu rakyat supaya turun mengundi.

Undian meletakkan parti liberal pro-Eropah memperoleh lebih 50% undi, sekali gus mengelak daripada berlaku pengundian peringkat kedua.

Kira-kira 6.4 juta daripada sembilan juta penduduk Austria layak mengundi.

Pusat mengundi di Vienna dan sebahagian besar kawasan lain di negara itu mula dibuka pada 7.00 pagi (waktu tempatan) dengan beberapa tempat dibuka seawal 6.00 pagi.

Ia ditutup pada 5.00 petang dengan keputusan awal akan diumumkan sebaik sahaja pengundian selesai.

Bekas pemimpin Greens itu bertanding semula sebagai calon bebas dengan poster menyatakan beliau “pilihan selamat dalam masa ribut” dengan kesan riak pencerobohan Russia ke atas Ukraine mendorong inflasi di seluruh Eropah.

Bagaimanapun, beliau mendapat sokongan tersurat atau tersirat daripada parti-parti utama Austria kecuali Parti Kebebasan (FPOe) berhaluan kanan, yang meletakkan calonnya sendiri, Walter Rosenkranz.

Rosenkranz menduduki tempat kedua dalam pemilihan dengan memperoleh 15% undian.

Turut bertanding dalam pilihan raya presiden ialah penyanyi rock punk, Dominik Wlazny, 35, pengasas Parti Beer yang dinamakan atas sokongannya terhadap minuman popular itu. – AFP, 9 Oktober, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen