Korban serangan peluru berpandu di bandar Ukraine cecah 17 orang


Anggota penyelamat Ukraine melakukan operasi di tapak bangunan kediaman yang rosak selepas dibedil peluru berpandu di bandar Zaporizhzhia, tenggara Ukraine. ​– Gambar EPA, 9 Oktober, 2022.

SEKURANG-KURANGNYA 17 orang termasuk seorang kanak-kanak maut apabila tujuh peluru berpandu Rusia mengenai bandar perindustrian Zaporizhzhia di selatan Ukraine, kata pihak berkuasa Ukraine pada Sabtu.

Peluru berpandu itu menyerang sebelum subuh pada Khamis, dengan tiga mendarat di pusat bandar, hanya 40km dari pertempuran tentera.

“Secara keseluruhan, 17 orang terbunuh,” kata Perkhidmatan Kecemasan Negara Ukraine di Telegram, sambil menambah seorang daripadanya adalah kanak-kanak.

Jumlah korban berulang kali meningkat sejak pengiraan awal yang melaporkan seorang maut. Terdahulu pada Sabtu, ia mencecah 14 orang.

Sebuah bangunan kediaman lima tingkat di jalan utama hampir musnah.

Presiden Volodymyr Zelensky mengecam tindakan itu di Telegram dengan mengatakan Zaporizhzhia menjadi sasaran serangan roket besar-besaran setiap hari yang merupakan jenayah.

Bandar dikuasai Ukraine itu terletak di wilayah Zaporizhzhia eponim, juga tempat loji nuklear dikuasai Rusia yang menjadi lokasi serangan besar-besaran.

Moscow mendakwa menguasai wilayah itu walaupun tenteranya tidak mengawal kesemuanya.

Ukraine berkata sekurang-kurangnya 30 orang terbunuh minggu lalu apabila konvoi kereta awam di wilayah Zaporizhzhia ditembak dalam serangan didakwa Kyiv dilakukan oleh Moscow. – AFP, 9 Oktober, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen