HAMPIR 250 ekor ikan paus pandu mati selepas tersadai di Pulau Chatham New Zealand dan cubaan membawa mereka kembali ke laut berisiko kerana ancaman ikan jerung, kata kerajaan pada Sabtu.
Ikan paus pandu, ahli keluarga ikan lumba-lumba, dilaporkan tersadai pada Jumaat di pulau itu, kata Jabatan Pemuliharaan New Zealand.
“Kami tidak aktif mengapungkan semula paus di Pulau Chatham disebabkan risiko serangan jerung kepada manusia dan ikan paus itu,” katanya dalam satu kenyataan.
Jabatan itu juga melakukan pembunuhan kendiri kepada ikan paus yang masih belum mati bagi mengelakkan ia menderita, kata jabatan. Penduduk asal kawasan itu turut hadir untuk memberikan sokongan, katanya.
“Semua ikan paus yang tersadai kini sudah mati dan bangkai mereka dibiarkan di kawasan itu untuk mereput secara semula jadi,” kata jabatan lagi.
Kejadian itu bukanlah “sesuatu yang asing”di Pulau Chatham, di Kepulauan Selatan New Zealand, kejadian terbesar pernah direkodkan pada 1918 melibatkan hampir 1,000 ekor ikan paus.
Lebih dua minggu lalu, hampir 200 ikan paus mati di Tasmania, Australia. Pasukan penyelamat berjaya menyelamatkan 44 ikan paus dalam kejadian itu.
Ahli sains masih belum memahami punca kejadian tersadai berlaku.
Ada ahli sains mencadangkan ikan paus hilang arah selepas berburu terlalu hampir dengan pesisir pantai.
Paus pandu yang boleh membesar sehingga enam meter juga haiwan sosial yang mungkin mengikut rakan mereka yang tersadai.
Di New Zealand, sekitar 300 haiwan tersadai setiap tahun, menurut rekod rasmi, dan bukan sesuatu yang luar biasa sekumpulan paus mengandungi antara 20 hingga 50 ekor.
Tetapi jumlah itu boleh bertambah kepada ratusan ekor jika melibatkan kumpulan besar.
Pada 2017, terdapat kejadian tersadai melibatkan hampir 700 ikan paus pandu. – AFP, 9 Oktober, 2022.
Komen