Polis tahan lelaki warga asing disyaki bunuh teman wanita


SEORANG lelaki warga asing ditahan semalam kerana dipercayai membunuh kekasihnya di sebuah hotel di Bukit Bintang, Kuala Lumpur pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Noor Dellhan Yahaya berkata lelaki berusia 27 tahun itu ditahan di sekitar Sentul pada jam 7.25 petang. 

Beliau berkata sebelum itu, pihaknya menerima maklumat seorang wanita berusia 36 tahun dijumpai terbaring di atas lantai dan meninggal dunia dalam sebuah bilik di hotel itu.

“Pemeriksaan awal mendapati terdapat kesan lilitan di leher perempuan warga tempatan itu akibat dijerut menggunakan tali yang turut ditemukan di lokasi kejadian.

“Motif dan punca kejadian masih dalam siasatan polis,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Noor Dellhan berkata, semakan awal mendapati suspek tidak memiliki rekod jenayah namun salinan pasport yang dikemukakan sudah tamat tempoh.

Katanya, lelaki itu ditahan reman selama seminggu bagi membantu siasatan kes di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – Bernama, 8 Oktober, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen