Peminjam PTPTN disaran manfaatkan pelbagai insentif Belanjawan 2023 


Peminjam PTPTN disaran memanfaatkan pelbagai insentif dan tawaran yang diumumkan dalam pembentangan Belanjawan 2023 semalam.– Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Oktober, 2022.

PEMINJAM Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) disaran memanfaatkan pelbagai insentif dan tawaran yang diumumkan dalam pembentangan Bajet 2023 semalam.

Pengerusinya Dr Apli Yusoff berkata insentif yang antara lain melibatkan tawaran diskaun atas baki pinjaman itu berupaya menarik minat peminjam yang berhasrat melunaskan segera bayaran pinjaman mereka.

“Terima kasih diucapkan kepada kerajaan atas pelbagai insentif berkenaan dan kita harap peminjam mengambil peluang yang diberikan itu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengunjungi Karnival Jom Heboh 2022 Terengganu di Kompleks Sukan Negeri Terengganu di Gong Badak, dekat Kuala Terengganu hari ini.

Bajet 2023 yang dibentangkan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz di Parlimen semalam menawarkan pelbagai insentif, termasuk pengecualian bayaran balik pinjaman PTPTN kepada semua peminjam yang memperoleh Ijazah Sarjana Muda kelas pertama dan kenaikan kadar pinjaman PTPTN dan penyediaan pinjaman komputer kepada kumpulan M40.

Apli berkata perincian pelaksanaan insentif kenaikan jumlah pinjaman, penyediaan pinjaman komputer kepada kumpulan M40 dan diskaun bayaran balik pinjaman PTPTN akan dimaklumkan pihaknya nanti.

“Pengecualian bayaran balik pinjaman PTPTN kepada semua peminjam yang memperoleh Ijazah Sarjana Muda kelas pertama pula dilaksanakan sebagaimana sedia ada, dan permohonan telah dibuka bermula 15 September lepas hingga 31 Disember tahun ini kepada peminjam yang tamat pengajian pada tahun 2019, 2020 dan 2021,” katanya. – Bernama, 8 Oktober, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen