Konvoi bantuan ke Syria disekat


Kira-kira 40 trak penuh bersedia untuk menghantar bekalan bantuan ke Timur Ghouta yang dibom dan dikepung, namun peperangan tidak menunjukkan tanda reda walaupun resolusi gencatan senjata Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), kata pegawai atasan badan itu semalam. – Gambar AFP, 1 Mac, 2018.

KIRA-KIRA 40 trak bersedia untuk menghantar bekalan bantuan ke Timur Ghouta yang dibom dan dikepung, walaupun Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) sudah mengeluarkan arahan resolusi gencatan senjata dilaksanakan, kata pegawai atasan badan itu semalam.

Penolong Setiausaha Hal Ehwal Kemanusiaan PBB Mark Lowcock berkata, tiada perubahan dalam situasi di sekitar wilayah terkepung dikawal pemberontak berhampiran Damsyik walaupun resolusi gencatan diterima Sabtu lalu.

“Bila resolusi anda akan dilaksanakan?” soalnya ke arah ahli Majlis Keselamatan PBB, yang mendengar bungkam.

Lowcock berkata, trak dipenuhi bekalan bersedia masuk ke 10 kawasan terkepung termasuk di Douma, bandar utama Timur Ghouta sejak Sabtu lalu.

Namun beliau berkata, tiada akses untuk konvoi kemanusiaan, tiada kebenaran oleh rejim untuk ke kawasan terkepung, malah tiada pemindahan perubatan sejak resolusi Majlis Keselamatan diluluskan.

Sebaliknya, pengeboman berterusan dan angka kematian dan kecederaan semakin meningkat, katanya dalam mesyuarat bulanan Majlis Keselamatan dikhususkan untuk konflik Syria.

Wakil Amerika Syarikat (AS) Kelley Currie menuduh rejim Syria melanggar gencatan senjata sementara Duta Russia Vassily Nebenzia menuduh pemberontak.

Timbalan Duta Sweden ke PBB Carl Skau, menuntut “akses segera” bantuan kemanusiaan. “Tiada masa untuk dibazirkan lagi,” katanya.

Sebelum mesyuarat bermula, Duta Perancis Francois Delattre berkata, semalam pemberontak di Ghouta  mengatakan mereka bersedia meletak senjata, namun rejim Syria tidak memberi tanda ia bersedia berbuat demikian.

Selepas semalaman pertempuran hebat di pinggir Timur Ghouta, jet pejuang Syria awal semalam mengebom beberapa kawasan dalam wilayah pemberontak, di mana anggaran 600 orang awam maut sejak 18 Februari lalu, kira-kira suku daripadanya kanak-kanak, menurut Pemantau Hak Asasi Manusia Syria (SOHR). – AFP, 1 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen