MUSIM sejuk yang semakin hampir mencetuskan kebimbangan dalam kalangan negara-negara Eropah susulan kekurangan bekalan tenaga.
Krisis antara Ukraine dan Rusia menyebabkan kos tenaga naik mendadak, lapor Agensi Anadolu.
Menteri iklim Britain pada Jumaat menolak kempen menggesa orang ramai menjimatkan penggunaan tenaga, walaupun Grid Nasional memberi amaran negara mungkin berdepan senario terburuk seperti terputus bekalan elektrik.
National Grid memberi United Kingdom (UK) mungkin menghadapi gangguan bekalan elektrik selama tiga jam pada musim sejuk ini.
UK menjana 40 peratus kuasanya melalui gas yang telah terjejas akibat operasi ketenteraan Rusia ke atas Ukraine hingga mencetuskan lonjakan harga global.
Kerajaan Britain telah mengumumkan jaminan tenaga untuk membantu isi rumah dan perniagaan yang berdepan masalah kos tenaga.
Pemimpin Kesatuan Eropah (EU) tidak dapat mencapai kata sepakat mengenai penetapan harga siling gas ketika sidang kemuncak tidak rasmi pada Jumaat di ibu negara Czech, Prague.
Sebelum mesyuarat itu, Presiden Suruhanjaya Eropah Ursula von der Leyen mencadangkan untuk mengehadkan kenaikan bil tenaga dengan harga pasaran gas asli yang diimport dan memperbaharui pasaran elektrik Eropah.
Sebagai sebahagian pembaharuan keseluruhan pasaran EU, mereka juga mengadakan perbincangan mengenai kemungkinan mengekang atau penduaan harga gas yang digunakan untuk menjana elektrik.
Hal itu berlaku selepas permintaan dari 15 negara EU termasuk Sepanyol, Perancis dan Itali.
Di bawah peraturan semasa harga gas yang tinggi memberi kesan inflasi ke atas bil elektrik.
Von der Leyen berjanji bahawa badan eksekutif EU akan mengemukakan cadangan lebih terperinci mengenai perkara itu dalam beberapa minggu akan datang.
Perancis pada Khamis melancarkan pelan penjimatan tenaga bertujuan mengurangkan penggunaan tenaga sebanyak 10 peratus dalam tempoh dua tahun akan datang.
Selain mengurangkan penggunaan tenaga, rancangan itu juga bertujuan mengekang kebergantungan kepada Rusia, menjamin bekalan tenaga dan tidak lagi bergantung kepada bahan api fosil menjelang 2050.
Mengikut perancangan terdapat 30 langkah untuk mengurangkan penggunaan tenaga bagi penjawat awam termasuk memanaskan bangunan awam pada suhu maksimum 19 darjah celsius, menghapuskan keperluan air panas di tandas, mengehadkan kelajuan perkhidmatan awam kepada 110 kilometer sejam dan menggalakkan penjawat awam bekerja dari rumah. – Bernama, 8 Oktober, 2022.
Komen