Belanjawan 2023 bukan 'game changer' kesihatan, kata pertubuhan


Pusat Galen berkata Belanjawan 2023 ini lebih kepada usaha kerajaan untuk tangani masalah lama seperti infrastruktur usang berbanding membuat pelaburan untuk penyelesaian jangka panjang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Oktober, 2022.

BELANJAWAN 2023 bukanlah pengubah permainan atau “game changer” sektor penjagaan kesihatan, walaupun peruntukannya kedua tertinggi selepas Kementerian Kewangan, kata pertubuhan kesihatan.

Ketua Eksekutif Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial Azrul Mohd Khalib berkata belanjawan yang dibentang semalam menunjukkan usaha kerajaan untuk tangani masalah lama institusi yang disebabkan oleh kurangnya pelaburan seperti infrastruktur usang dan untuk kekalkan pekerja mahir.

“Kerajaan juga mahu tangani isu doktor kontrak dengan meningkatkan pengambilan kontrak, tetapi nampaknya tidak meningkatkan jawatan tetap walaupun peningkatan besar dalam emolumen di seluruh lembaga.

“Ini jelas bertujuan untuk membiayai kenaikan pangkat kakitangan sedia ada dan meningkatkan gaji untuk kekalkan pekerja berkemahiran,” katanya dalam satu kenyataan.

Sambil mengalu-alukan penubuhan Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsaan, Azrul berkata lebih baik peruntukan itu digunakan sepenuhnya ke arah pelaburan supaya dapat menambah lebih ramai pakar psikiatri, ahli psikologi dan profesional kesihatan mental lain.

“Kita perlu tingkatkan ketersediaan dan liputan perkhidmatan kesihatan mental yang buat masa ini tidak mencukupi. Kita perlukan lebih banyak penyedia perkhidmatan, atau sekurang-kurangnya cara untuk orang ramai dapat akses perkhidmatan kesihatan mental awam dan swasta. Ini perlukan pelaburan dan komitmen jangka panjang,” katanya.

Azrul berkata walaupun Menteri Kewangan sedar Malaysia masih di kedudukan teratas dalam rantau ini yang mempunyai ramai penduduk yang obesiti atau menghidap penyakit tidak berjangkit, namun ianya tidak cukup untuk tangani keadaan ini.

Katanya, beliau kecewa kerana Belanjawan 2023 tidak menyebut sebarang komitmen untuk menangani isu pembiayaan penjagaan kesihatan dan melabur dalam penyelesaian jangka panjang yang mampan.

“Bagi memastikan sistem penjagaan kesihatan Malaysia mampu terus menyediakan perkhidmatan kesihatan yang berkualiti, berpatutan dan boleh diakses untuk semua dalam dekad yang akan datang dan menangani cabaran mencegah dan merawat Penyakit Tidak Berjangkit (NCD), kesihatan mental dan penduduk yang semakin tua, kerajaan mesti menyeru kehendak dan komitmen untuk melabur sekarang dalam pendekatan mampan baharu untuk membiayai kesihatan. Kami tidak mendengarnya,” katanya.

Belanjawan 2023 yang dibentangkan semalam memperuntukkan RM36.139 bilion kepada Kementerian Kesihatan (KKM), di mana RM31.5 bilion adalah untuk perbelanjaan mengurus dan RM4.63 bilion untuk perbelanjaan pembangunan.

Peruntukan kementerian itu meningkat sebanyak RM3.72 bilion atau 11.51 peratus berbanding RM32.4 bilion pada 2022. – 8 Oktober, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen