Universiti Columbia bayar AS$165 juta kepada mangsa jenayah seksual doktor


Pusat Perubatan Irving Universiti Columbia berkata Robert Hadden sudah tidak bekerja sebagai doktor sejak 2012. – Gambar AFP, 8 Oktober, 2022.

UNIVERSITI Columbia dan hospitalnya pada Jumaat mengumumkan yang mereka mencapai persetujuan bagi pampasan bernilai AS$165 juta kepada 147 pesakit bekas doktor sakit puan yang dituduh melakukan jenayah seksual, antara mangsanya termasuk isteri seorang bekas calon presiden AS.

Pusat Perubatan Irving Universiti Columbia berkata Robert Hadden- yang secara berasingan mengaku bersalah pada 2016 atas dua pertuduhan meraba dan jenayah seksual darjah ketiga-sudah tidak bekerja sebagai doktor sejak 2012.

Dalam bicara kesnya pada 2016, Hadden hilang kelayakan perubatan dan didaftarkan sebagai pesalah seksual risiko rendah tetapi tidak dipenjarakan.

Penyelesaian diumumkan pada Jumaat untuk mewujudkan dana pampasan berjumlah AS$165,081,000 untuk diedarkan kepada wanita tersebut, termasuk berpuluh mangsa yang menyaman doktor dan rangkaian hospital itu apabila mangsa mendedahkan kelakuan pemangsa Hadden.

Hadden sedang menunggu perbicaraan kesnya di mahkamah persekutuan untuk enam pertuduhan jenayah, rekod didedahkan pada 2020, mendakwa dia membawa mangsa melintasi sempadan negeri bagi tujuan jenayah seksual antara 1993 hingga 2012.

“Kami sangat kesal dengan penderitaan ditanggung pesakit Robert Hadden dan berharap resolusi ini akan memberikan sejumlah sokongan kepada wanita yang disakitinya,” kata CUIMC dan New York Presbyterian dalam satu kenyataan bersama.

Antara pesakit yang menjadi mangsa kes itu adalah Evelyn Yang, isteri usahawan teknologi Andrew Yang yang bertanding sebagai calon presiden Parti Demokratik pada 2016.

Penyelesaian terbaru itu dicapai selepas Universiti Columbia mengumumkan penyelesaian berjumlah AS$71.5 juta tahun lepas antara hospital dan 79 pesakit Hadden yang diwakili peguam berlainan.

Columbia berkata sejak dekad lepas, CUIMC sudah menyemak semula dasarnya dan meningkatkan jumlah sumber bagi keselamatan pesakit. – AFP, 8 Oktober, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen