Pejuang hak asasi Belarus, Rusia dan Ukraine menang Nobel Keamanan


Ales Bialiatski dari Belarus, kumpulan Memorial dari Rusia (gambar) dan Pusat Kebebasan Awam dari Ukraine menang Hadiah Nobel Keamanan 2022. – Gambar AFP, 8 Oktober, 2022.

HADIAH Nobel Keamanan pada Jumaat diberikan kepada pejuang hak asasi manusia Ales Bialiatski dari Belarus, kumpulan Memorial dari Rusia dan Pusat Kebebasan Awam dari Ukraine kerana kerja mereka mendokumentasi jenayah perang dan pelanggaran hak asasi.

Jawatankuasa juga mendesak pembebasan Bialiatski yang dipenjarakan sejak 2021 di Belarus, dan menegaskan yang hadiah itu tidak bertujuan memperlekeh Presiden Rusia Vladimir Putin yang melancarkan pencerobohan ke Ukraine pada Februari lepas.

“Usaha unggul mereka untuk mendokumentasi jenayah perang, pelanggaran hak asasi dan salah guna kuasa. Bersama-sama mereka menunjukkan kepentingan pergerakan sivil untuk keamanan dan demokrasi,” kata Ketua Jawatankuasa Hadiah Nobel Berit Reiss-Andersen kepada wartawan.

“Hadiah ini tidak ditujukan kepada Presiden Putin…kecuali yang kerajaannya mewakili kerajaan authoritarian yang menindas aktivis hak asasi,” kata Reiss-Andersen.

Tahun lepas, Hadiah Keamanan diberikan kepada dua pejuang kebebasan media, wartawan Filipina Maria Ressa dan rakan wartawannya dari Rusia Dmitry Muratov.

Penerima hadiah menerima pingat emas, sijil dan hadiah berjumlah 10 juta kronor Sweden (sekitar AS$900,000).

Hadiah itu akan diberikan pada majlis rasmi di Oslo pada 10 Disember, ulang tahun kematian pengasas hadiah itu pada 1896, Alfred Nobel.

Reiss-Andersen berkata beliau berharap Bialiatski akan dapat hadir.

“Kami berharap yang dia dapat datang ke Oslo dan menerima penghormatan yang diberikan kepadanya,” katanya.

Hanya Hadiah Keamanan diberikan di Oslo, pemenang hadiah lain diumumkan di Stockholm.

Pada Khamis, penulis Perancis Annie Ernaux menang Hadiah Nobel Sastera.

Beliau adalah wanita ke-17 yang menerima hadiah tersebut daripada 119 pemenang sejak 1901.

Sesi pengumuman Hadiah Nobel akan berakhir pada Isnin dengan Hadiah Nobel Ekonomi. – AFP, 8 Oktober, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen