Iran dakwa Mahsa Amini bukan mati sebab dipukul


Pertubuhan Forensik Iran berkata kematian Mahsa Amini bukan disebabkan oleh pukulan di kepala dan organ penting, tetapi berkait dengan pembedahan tumornya pada usia lapan tahun. – Gambar EPA, 8 Oktober, 2022.

IRAN pada Jumaat berkata, siasatan terhadap kematian dalam tahanan Mahsa Amini mendapati beliau meninggal dunia kerana sakit berbanding lapporan ianya dipukul yang mencetuskan protes berdarah sejak tiga minggu.

Amini, 22, meninggal dunia pada 16 September, tiga hari selepas koma berikutan penahanannya di Tehran oleh polis moral kerana didakwa melanggar peraturan pakaian ketat republik Islam itu terhadap wanita.

Kemarahan atas kematiannya telah mencetuskan gelombang protes terbesar menggegarkan Iran dalam tempoh hampir tiga tahun selain tindakan keras yang telah membunuh berpuluh-puluh penunjuk perasaan serta ramai ditangkap.

Walaupun anggota keselamatan menggunakan kekerasan, protes yang diketuai kaum wanita itu berterusan selama 21 malam berturut-turut, menurut video dalam talian yang disahkan oleh AFP.

Pertubuhan Forensik Iran berkata pada Jumaat “kematian Mahsa Amini bukan disebabkan oleh pukulan di kepala dan organ penting serta anggota badan”.

Kematian Amini, yang nama pertama Kurdishnya ialah Jhina, berkaitan dengan “pembedahan tumor otak pada usia lapan tahun”, katanya dalam satu kenyataan.

Ibu bapa Amini yang berduka telah memfailkan aduan terhadap pegawai terbabit, dan salah seorang sepupunya yang menetap di Iraq memberitahu AFP beliau meninggal dunia akibat “hentakan ganas di kepala”.

Wanita dan gadis muda lain turut dibunuh dalam protes itu, tetapi kumpulan hak asasi manusia Amnesty International berkata Iran telah memaksa pengakuan yang disiarkan di televisyen daripada keluarga mereka untuk “melepaskan diri daripada tanggungjawab atas kematian mereka”. – AFP, 8 Oktober, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen