Mata wang asing kurang, Sri Lanka tutup kilang penapis minyak


Menteri Kuasa dan Tenaga Sri Lanka Kanchana Wijesekara berkata kekurangan mata wang asing untuk pembayaran dua kargo minyak mentah digunakan di Kilang Penapisan Sapugaskanda membawa kepada penutupannya buat sementara. – Gambar EPA, 8 Oktober, 2022.

SRI LANKA pada Jumaat menutup sementara kilang penapisan minyak Sapugaskanda disebabkan kekurangan pertukaran asing untuk mendapatkan minyak mentah bagi kemudahan itu.

“Kilang Penapisan Sapugaskanda akan ditutup bermula hari ini kerana kekurangan dalam pertukaran mata wang asing untuk kargo minyak mentah,” kata Menteri Kuasa dan Tenaga Kanchana Wijesekara.

Bagaimanapun, tidak akan berlaku kekurangan dalam produk bertapis kerana Ceylon Petroleum Corporation (CPC) yang dikendalikan kerajaan menyimpan stok yang mencukupi untuk semua produk dan Bank Pusat Sri Lanka (CBSL) telah menyediakan keperluan pertukaran asing mingguan untuk produk bertapis, tambahnya.

Kekurangan mata wang asing yang kukuh untuk pembayaran dua kargo minyak mentah yang digunakan di kilang penapisan membawa kepada penutupan kilang itu, kata Wijesekara.

Kilang penapisan yang beroperasi sejak 52 tahun lalu mampu menapis 50,000 tong minyak mentah setiap hari.

“Sebaik sahaja mata wang asing mencukupi untuk CPC, kargo minyak mentah 100,000 MT (tan metrik) ESPO yang berlabuh di perairan Sri Lanka sejak 10 hari lalu akan dipunggah,” kata menteri itu.

Sri Lanka berdepan kekurangan tenaga yang serius kerana import penghantaran bahan api secara berkala terjejas akibat krisis mata wang asing yang teruk dalam krisis ekonomi terburuk dihadapi negara itu.

Kerajaan tahun ini memperkenalkan “Pas Bahan Api Kebangsaan”, sistem catuan untuk pengagihan bahan api yang secara teratur kepada kenderaan berdaftar. – Bernama, 8 Oktober, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen