Singapura kecam keras tragedi pembunuhan budak di Thailand


Dalam tragedi amuk menggunakan pistol dan pisau itu, 37 orang termasuk 22 kanak-kanak terbunuh di sebuah pusat jagaan kanak-kanak di timur laut Thailand. – Gambar EPA, 8 Oktober, 2022.

PERDANA Menteri Singapura Lee Hsien Loong “terkejut dan sedih” apabila mengetahui tragedi pembunuhan ramai-ramai yang berlaku di wilayah Nong Bua Lam Phu.

“Perbuatan keji itu wajar dikecam sekeras-kerasnya. Singapura bersolidariti dengan Thailand pada masa yang sukar ini,” kata Lee dalam surat ucapan takziah kepada rakan sejawatannya di Thailand Prayut Chan-o-cha.

Teks surat itu dikongsikan kepada media.

“Tindakan keganasan yang tidak masuk akal ini meragut banyak nyawa yang tidak bersalah, kebanyakannya kanak-kanak.

“Bagi pihak Kerajaan Singapura, saya mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang sedang berduka dengan tragedi yang menyayat hati ini. Saya juga mendoakan semua yang cedera pulih dengan segera,” kata Lee.

Dalam tragedi amuk menggunakan pistol dan pisau itu, 37 orang termasuk 22 kanak-kanak terbunuh di sebuah pusat jagaan kanak-kanak di timur laut Thailand.

Pelaku seorang bekas anggota polis melarikan diri dari tempat kejadian dengan menaiki kenderaan dan kemudian membunuh isteri dan anak lelakinya sebelum maut menembak dirinya sendiri.

Polis berkata, kebanyakan daripada 22 kanak-kanak berusia antara dua hingga empat tahun itu maut ditikam.

Pemimpin dunia lain juga memberikan respons mereka terhadap berita amuk pada Khamis di pusat jagaan kanak-kanak di Uthai Sawan, kira-kira 500 km timur laut Bangkok. – Bernama, 8 Oktober, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen