RATUSAN petugas akademik Universiti Helsinki di Finland pada Rabu melancarkan mogok bagi menuntut gaji lebih tinggi, lapor agensi berita China Xinhua.
Para profesor turut menyertai mogok itu, dan ini merupakan kali pertama golongan cendekiawan berbuat demikian di negara Scandinavia ini.
Penunjuk perasaan berkata seorang pengantara negara mencadangkan kenaikan gaji sebanyak 2% namun ditolak oleh Persekutuan Institusi Pengajian Tinggi.
Ainur Elmgren, seorang pekerja projek, memberitahu media tempatan yang “pendidikan membawa kemerdekaan kepada Finland,” dan “kini ia dibuang.”
Sementara itu, para majikan berkata pembiayaan kerajaan untuk universiti dipotong sebanyak 400 juta euro (AS$488 juta) sejak 2015, dan kenaikan gaji berdasarkan industri eksport tidak boleh diaplikasi kepada petugas universiti.
Menurut petugas kesatuan universiti, jika satu persetujuan gagal dicapai, enam lagi universiti termasuk Universiti Aalto akan melancarkan mogok pada 7 Mac diikuti tujuh universiti lain pada 14 Mac.
Mogok pada Rabu berbetulan dengan perdebatan interpelasi (permintaan keterangan) Parlimen berkaitan pendidikan.
Pihak pembangkang mendakwa tindakan kerajaan memotong bajet pendidikan meletakkan tradisi sekolah di Finland dalam keadaan bahaya. – Bernama, 1 Mac, 2018.
Komen