SEORANG penyampai radio internet di Hong Kong dipenjarakan selepas disabitkan bersalah kerana memberi komen yang dianggap sebagai “menghasut” bercanggah dengan peraturan China, apabila menggesa kebebasan bandar itu dan menggulingkan kerajaannya.
Beijing melaksanakan tindakan kekerasan di Hong Kong susulan protes pro demokrasi yang bertukar menjadi ganas sejak tiga tahun lalu.
Edmund Wan, 54, – atau lebih dikenali dengan nama DJ Giggs dijatuhi hukuman penjara dua tahun lapan bulan selepas mengaku bersalah terhadap satu daripada pertuduhan konspirasi dengan niat menghasut dan tiga tuduhan pengubahan wang haram.
Hakim daerah Adriana Noelle Tse Ching menyifatkan kes itu sebagai sangat serius kerana kata-kata tertuduh bagaikan menyimbah minyak ke api ketika Hong Kong berdepan ketegangan.
Undang-undang keselamatan, digabung dengan undang-undang hasutan era penjajah digunakan sejak sekian lama untuk mendakwa pembangkang di Hong Kong sejak 2019.
Dalam satu program pada 2020, Wan memetik bekas pemimpin Ukraine yang digulingkan Viktor Yanukovych dan berkata rakyat Hong Kong juga perlu “buang” pemimpinnya Carrie Lam.
Dalam satu lagi program, tertuduh dikatakan mendakwa Parti Komunis China melakukan pemansuhan budaya terhadap golongan minoriti dan benderannya membawa maksud autoritarian.
Wan menggunakan programnya untuk mengumpul dana bagi menyokong golongan muda Hong Kong yang melarikan diri ke Taiwan. – AFP, 7 Oktober, 2022.
Komen