SEKURANG-KURANGNYA 19 orang disahkan maut selepas runtuhan salji melanda pendaki di Himalaya di India, kata pihak berkuasa pada Jumaat, dengan cuaca buruk menghalang usaha mencari dan menyelamat pada hari keempat.
Sekumpulan pelatih dan pengajar pendakian terperangkap dalam gelongsor salji besar-besaran pada Selasa berhampiran puncak Gunung Draupadi ka Danda II di negeri utara Uttarakhand.
“Sembilan belas mayat telah ditemui. 10 orang masih hilang,” kata jurucakap agensi bencana negara, Ridhim Aggarwal kepada AFP.
“Operasi menyelamat telah disambung semula untuk hari ini tetapi tertakluk kepada cuaca,” tambahnya. “Cuaca teruk.”
Polis, pihak berkuasa bencana dan tentera udara India telah digerakkan untuk membantu usaha mencari, dengan 32 orang berjaya diselamatkan dari gunung itu walaupun salji dan hujan turun.
Sebuah tempat pendaratan helikopter telah disediakan berhampiran tapak runtuhan salji pada ketinggian 4,900 meter dari paras laut, kata Polis Sempadan Indo-Tibet pada Khamis.
Sunil Lalwani, salah seorang pendaki pelatih yang diselamatkan, memuji tenaga pengajar kerana menyelamatkan banyak nyawa.
“Kami berada 50-100 meter dari puncak dengan pengajar di hadapan kami, apabila tiba-tiba runtuhan salji melanda kami dan menyebabkan semua orang jatuh,” Lalwani dipetik sebagai berkata oleh Hindustan Times pada Khamis.
“Ia berlaku dalam beberapa saat dan kami terlempar ke dalam celah. Entah bagaimana kami mampu bernafas… Kerana merekalah kami masih hidup hari ini.”
Antara mayat yang ditemui awal minggu ini ialah pendaki Savita Kanswal, yang telah mendaki Everest tahun ini.
Kanswal adalah seorang pengajar dengan ekspedisi itu dan telah dipuji oleh komuniti pendaki kerana mendaki puncak tertinggi di dunia dan berdekatan Makalu dalam hanya 16 hari, sekali gus mencipta rekod wanita. – AFP, 7 Oktober, 2022.
Komen