Qatar pentas Piala Dunia terakhir saya, kata Messi


Kapten Argentina Lionel Messi berkata pada Khamis Piala Dunia 2022 di Qatar "pasti" akan menjadi yang terakhir dalam kariernya. – Gambar EPA, 7 Oktober, 2022.

PIALA Dunia FIFA tahun ini di Qatar mungkin menjadi aksi terakhir kapten Argentina Lionel Messi di pentas perlawanan bola sepak.

Penyerang Paris Saint-Germain berusia 35 tahun itu akan membuat penampilan kelimanya di Piala Dunia apabila kejohanan bermula pada 20 November.

“Terdapat beberapa kebimbangan dan cabaran pada masa yang sama. Ia adalah yang terakhir,” lapor Xinhua memetik Messi yang memberitahu perkhidmatan penstriman Amerika Latin Star Plus.

Argentina merupakan antara pasukan pilihan untuk menjulang trofi bola sepak antarabangsa yang paling diidamkan pada 18 Dis, setelah mengharungi 32 perlawanan dengan rekod tanpa kalah. Rentetan itu bermula pada Julai 2019 dan termasuk kejayaan Copa America tahun lalu - kejayaan utama sulung pasukan Argentina (Albiceleste) sejak 1993.

Di sebalik pencapaian yang mengagumkan, Messi menegaskan bahawa kejayaan baru-baru ini tidak akan dikira di pentas terbesar bola sepak.

“Dalam Piala Dunia, apa sahaja boleh berlaku,” kata Messi, yang muncul penjaring terbanyak sepanjang zaman Argentina dengan 90 gol dalam 164 perlawanan.

“Semua perlawanan adalah sangat sukar. Pasukan kegemaran tidak selalunya menang. Saya tidak tahu sama ada kami adalah pilihan, tetapi Argentina sentiasa menjadi calon kerana sejarah kami. Apatah lagi sekarang kerana prestasi kami telah kembali, tetapi kami bukan pilihan. Ada pasukan lain yang lebih baik di hadapan kami.”

Messi berkata beliau selesa dengan statusnya sebagai kapten dan pemain contoh dalam skuad Argentina sekarang.

Bintang itu menyifatkan kejuaraan Copa America tahun lalu sebagai penantian yang panjang selepas tewas kepada Jerman di perlawanan akhir Piala Dunia 2014 dan kekalahan berturut-turut kepada Chile pada perlawanan akhir Copa America 2015 dan 2016.

“Ia sangat sukar tetapi pada 2019 saya bersama satu kumpulan baharu dengan ramai pemain muda beraksi dan kemudian kami memenangi Copa America,” katanya.

“Itu banyak membantu kami. Sukar untuk saya jelaskan. Ia satu matlamat yang saya perlukan untuk menamatkan segala-galanya. Ia sangat penting bagi saya untuk menang sesuatu bersama pasukan kebangsaan.”

Pemenang Piala Dunia 1978 dan 1986 itu akan memulakan kempen menentang Arab Saudi pada 22 November sebelum berdepan Mexico dan Poland dalam Kumpulan C. – Bernama, 7 Oktober, 2022.

“Ia Piala Dunia terakhir saya, sudah tentu. Saya sihat dari segi fizikal, saya dapat lalui pramusim sangat baik tahun ini, yang tidak dapat saya lakukan tahun lepas. Penting untuk saya ketika ini, dengan prestasi, fikiran dan harapan yang baik,” kata pemain berusia 35 tahun itu kepada ESPN Argentina.

Messi, yang sepatutnya muncul dalam Piala Dunia kelimanya, membuat penampilan sulung antarabangsanya pada 2005 dan sejak itu memenangi 164 perlawanan untuk Argentina dan merupakan penjaring terbanyak sepanjang masa negara itu dengan 90 gol.

Dalam temu bual, yang berlangsung di Paris di mana Messi bermain untuk Paris Saint-Germain, beliau mengakui gugup dengan kejohanan yang bakal berlangsung.

“Terdapat kebimbangan, kegelisahan tentang Piala Dunia,” katanya. “Kami tidak sabar untuk ia bermula.”

Debut antarabangsa Messi sebagai pemain gantian menentang Hungary pada 2005 berlangsung hanya dua minit sebelum beliau dibuang padang namun segera memantapkan dirinya dalam skuad kebangsaan dan ke Jerman untuk Piala Dunia pertamanya pada 2006.

Beliau terus bermain dalam edisi 2010 di Afrika Selatan, 2014 di Brazil, di mana Argentina mara ke final, dan 2018 di Rusia.

Pasukan semasa, di bawah pengurusan Lionel Scaloni, kini telah mengharungi 35 perlawanan tanpa kalah dan berkemungkinan menjadi antara pilihan untuk kejohanan itu.

“Kami telah mencapai detik yang bagus, dengan kumpulan yang sangat lengkap dan sangat kuat, tetapi apa sahaja boleh berlaku,” kata Messi. – AFP, 7 Oktober, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen