PERDANA Menteri Kemboja Samdech Techo Hun Sen pada Khamis menggesa kerjasama dan solidariti antarabangsa dalam menangani cabaran alam sekitar global untuk kemanusiaan.
“Isu alam sekitar tidak mempunyai sempadan, oleh itu untuk rakyat kita, hanya kerjasama dan solidariti antarabangsa dapat menangani cabaran alam sekitar global secara berkesan dan menyelamatkan planet kita daripada bencana,” kata Hun Sen.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya yang disampaikan melalui pautan video dari Phnom Penh, pada majlis perasmian persidangan antara parti antarabangsa anjuran Parti Rusia Bersatu, lapor Xinhua.
Hun Sen, yang juga presiden Parti Rakyat Kemboja berkata banyak contoh solidariti dan kerjasama yang baik seperti pelaksanaan Protokol Montreal mengenai Bahan Menipiskan Lapisan Ozon yang berjaya menghapuskan secara berperingkat dan beransur-ansur bahan penipisan ozon, memberikan harapan besar bahawa negara-negara di dunia dapat benar-benar mengatasi semua cabaran ini
Persidangan yang berlangsung di bandar Yuzhno-Sakhalinsk Rusia itu bertemakan “Dasar Ekologi dan Pembangunan Mampan”.
Hun Sen berkata sokongan kewangan dan pemindahan teknologi dari negara maju ke negara membangun penting dalam menyumbang ke arah menangani isu alam sekitar global secara lebih aktif dan berkesan.
“Pada masa sama, kita juga wajar menumpukan kepada pembinaan dan penyepaduan sumber manusia melalui perkongsian ilmu menangani isu alam sekitar dan program lawatan sambil belajar sebagai respons kepada isu alam sekitar global yang mendesak,” katanya.
Hun Sen berkata Kemboja kekal komited mengambil bahagian dalam menangani perubahan iklim global dengan meningkatkan belanjawan tiga kali ganda bagi aktiviti berkaitan mitigasi perubahan iklim dan menetapkan sasaran mengurangkan pelepasan gas rumah hijau sebanyak 42 peratus menjelang 2030.
Selain itu, negara Asia Tenggara telah mengguna pakai strategi jangka panjang untuk mencapai neutraliti karbon bagi menggalakkan ekonomi hijau berdaya tahan iklim dengan pelepasan karbon rendah, tambahnya.
“Kemboja sudah bersedia dan kami perlukan rakan kongsi dari sektor awam dan swasta bagi membantu merealisasikan komitmen ini,” kata Hun Sen. – Bernama, 7 Oktober, 2022.
Komen