POLIS Albania pada Rabu merampas sejumlah 613 kilogram kokain yang berasal dari Colombia di Pelabuhan Durres, rampasan terbesar pernah dicatat di negara itu, lapor agensi berita China Xinhua.
“Polis Albania, dengan kerjasama pihak Pendakwaan Jenayah Berat dan Direktori Penyiasatan Kastam, merampas kokain yang dianggar bernilai 180 juta euro (AS$219 juta) di pasaran gelap dalam operasi ‘Last Snow’,” kata Ketua Polis Ardi Veliu dalam satu sidang akhbar pada Rabu.
Kokain itu disembunyikan dalam lantai sebuah kontena yang sarat dengan muatan pisang, satu penghantaran dari Colombia, melalui Itali dan Malta, sebelum berlabuh di Pelabuhan Durres pada 19 Februari.
Veliu berkata dua rakyat Albania ditahan manakala pemilik syarikat yang membuat pesanan untuk penghantaran pisang melarikan diri.
Perdana Menteri Albania, Edi Rama, memuji operasi itu dan menyifatkannya sebagai satu langkah utama dalam mendepani jenayah terancang.
“Sebenarnya operasi ini dijalankan di Albania tanpa sebarang amaran dari negara Eropah lain di mana penghantaran itu transit sebelum memasuki Pelabuhan Durres.
“Kejayaan ini adalah satu testimoni kepada penguatkuasaan undang-undang yang kita ada hari ini, bermula dari tempat pemeriksaan kastam,” kata Rama dalam satu kenyataan. – Bernama, 1 Mac, 2018.
Komen