PERDANA Menteri Ismail Sabri Yaakob berada di Istana Negara lebih kurang sejam untuk majlis mengadap Yang di-Pertuan Agong petang ini yang menjadi tumpuan umum di tengah spekulasi Parlimen akan dibubar dalam waktu terdekat.
Ismail Sabri yang dilihat masuk ke perkarangan Istana Negara melalui Pintu Utama pada 3.45 petang kemudian keluar melalui pintu sama pada 4.45 petang.
Ismail Sabri hanya melambai tangan kepada wakil media yang menunggu di luar Istana Negara.
Sebelum majlis menghadap yang dijadual pada 4 petang, Ismail Sabri memberitahu pemberita pertemuannya dengan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hanya untuk urusan Jemaah Menteri.
Urusan lain, yang difahami termasuk soal tarikh pilihan raya dan pembubaran Parlimen, akan dibangkitkan sekiranya sempat.
Majlis menghadap Yang di-Pertuan Agong adalah rutin biasa perdana menteri setiap minggu sebelum mempengerusikan mesyuarat Kabinet.
Mesyuarat Jemaah Menteri dijadualkan pada sebelah pagi esok sementara Belanjawan 2023 dijadual dibentang di Dewan Rakyat pada 4 petang.
Sebelum menerima perdana menteri menghadap, Al-Sultan Abdullah pada sebelah pagi berkenan melawat Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di Ampang.
Lawatan bertujuan meninjau persiapan agensi berkaitan menghadapi kemungkinan bencana banjir dalam waktu terdekat.
Menteri Alam Sekitar dan Air Tuan Ibrahim Tuan Man dilapor berkata Al-Sultan Abdullah bertitah supaya pihak berkuasa memberi perhatian kepada sistem amaran awal bencana untuk menghadapi banjir.
Yang di-Pertuan Agong juga hari ini menerima menghadap Panglima Angkatan Tentera Malaysia Affendi Buang dan Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani, lapor Bernama.
Agensi berita rasmi itu juga melaporkan, sebelum ke Istana Negara, Ismail Sabri yang juga naib presiden Umno singgah di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, dipercayai untuk berjumpa dengan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.
Majlis Kerja Tertinggi Umno yang bermesyuarat Jumaat lepas mahu Parlimen dibubar dalam masa terdekat bagi membolehkan PRU15 diadakan tahun ini.
Sebelum ke Istana Negara, Ismail Sabri juga meninjau persiapan Bajet 2023 di Kementerian Kewangan di Putrajaya. – 6 Oktober, 2022.
Komen