Thailand umum 3 cuti khas sempena sidang APEC elak kesesakan


Sidang Kemuncak APEC 2022 akan berlangsung di Pusat Konvensyen Queen Sirikit di Bangkok, Thailand dari 18 hingga 19 November. – Gambar EPA, 6 Oktober, 2022.

THAILAND mengumumkan cuti khas tambahan untuk Bangkok dan dua wilayah berhampiran dari 16 hingga 18 November (Rabu hingga Jumaat) bagi Bangkok, Nonthaburi dan Samut Prakan sempena Minggu Pemimpin Ekonomi (AELW) Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC).

Timbalan ketua setiausaha kepada perdana menteri dan pemangku jurucakap kerajaan, Anucha Burapachaisri, berkata Kabinet semalam meluluskan tiga cuti umum tambahan itu bagi membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas di bandar itu.

“Cuti khas itu juga akan memastikan aliran trafik lancar bagi pemimpin APEC untuk tiba di tempat itu,” katanya pada sidang media di Bangkok semalam.

Agensi kerajaan seperti hospital, mahkamah dan bank akan terus dibuka.

Sidang Kemuncak APEC akan berlangsung di Pusat Konvensyen Queen Sirikit di Bangkok dari 18 hingga 19 November. 

Presiden China Xi Jingping, Presiden Perancis Emmanuel Macron, Perdana Menteri New Zealand Jacinda Ardern dan Presiden Filipina Ferdinand Marcos Jr adalah antara pemimpin yang menghadiri sidang kemuncak itu.

Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden mungkin tidak menyertai AELW di Bangkok kerana urasan keluarga. Bagaimanapun, Thailand dan AS sedang menyelaras usaha bagi mencari jalan supaya presiden menghadiri mesyuarat itu.

APEC kini merangkumi 21 ekonomi, termasuk 19 negara dan dua wilayah. Ia terdiri daripada Australia, Brunei, Vietnam, Indonesia, Kanada, China, Korea Selatan, Malaysia, Mexico, New Zealand, Papua New Guinea, Peru, Rusia, Singapura, AS, Thailand, Filipina, Chile dan Jepun, serta wilayah China Hong Kong dan Taiwan. – Bernama, 6 Oktober, 2022.              


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen