Tawaran duit mudah punca anak muda senang kena tipu, kata polis 


Kalidevi Mogan Kumarappa

Generasi muda yang banyak menggunakan media sosial dan teknologi terkini berbanding yang golongan pertengahan dan warga emas juga menjadikan mereka sasaran mudah untuk sindiket. – Gambar EPA, 6 Oktober, 2022.

TAWARAN gaji lumayan dan anak muda berfikiran sempit antara faktor utama mereka mudah menjadi mangsa sindiket penipuan dalam talian, kata pakar kriminologi bebas Shahul Hamid Abd Rahim.

Katanya, modus operandi sindiket penipuan dalam talian itu ialah mendapatkan wang mudah melalui pelbagai cara dengan menjerat golongan muda terutamanya pelajar dan belia yang tiada pendapatan tetap.

“Tidak kira menjadi mangsa penipuan atau keldai akaun, apabila ditawarkan gaji atau pulangan lumayan, generasi muda yang berfikiran sempit dan tiada pengalaman hidup boleh cepat terpedaya dan menjadi mangsa.

“Ini bukan sahaja menjejaskan satu sistem masyarakat tetapi juga boleh menghancurkan negara dalam masa lima atau 10 tahun akan datang jika tidak dikawal dari sekarang,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Katanya, generasi muda yang banyak menggunakan media sosial dan teknologi terkini berbanding yang golongan pertengahan dan warga emas juga menjadikan mereka sasaran mudah untuk sindiket.

“Bukan sahaja sindiket penipuan dalam talian, banyak generasi muda juga menjadi mangsa sindiket pekerjaan. Mereka diperangkap melalui media sosial dan terpedaya dengan janji manis agen haram. 

“Jadi, kelemahan yang sering kita lihat dalam kalangan generasi muda adalah mudah terpedaya atau dipengaruhi,” katanya.

Menurut Shahul Hamid, antara langkah berkesan yang boleh diambil untuk menangani masalah ini ialah dengan meningkatkan kempen kesedaran dalam kalangan generasi muda, selain peranan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menaik taraf sistem keselamatan siber.

“SKMM patut lebih canggih daripada sindiket itu tetapi sebaliknya sekarang,” katanya.

Pakar kriminologi menyarankan kempen kesedaran dalam kalangan generasi muda ditingkatkan, selain peranan SKMM menaik taraf sistem keselamatan siber. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Oktober, 2022.

Minggu lalu, Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani berkata polis menjangkakan sindiket penipuan dalam talian akan lebih menyasarkan golongan muda iaitu pelajar dan belia, termasuk sebagai keldai akaun.

Sementara itu, seorang pakar keselamatan siber Dr Wee Kim Leng berkata, kesedaran masyarakat mengenai jenayah siber masih pada tahap sederhana.

“Generasi muda senang jadi mangsa sindiket penipuan atas talian kerana hendak dapat duit dengan cepat dan mudah. 

“Mereka juga kurang ambil tahu perkembangan semasa yang diwar-warkan melalui media perdana.

“Mereka lebih percaya pada iklan dan maklumat di media sosial yang menyebabkan mereka mudah jadi mangsa,” katanya.

Sementara itu, pakar kriminologi dari Universiti Sains Malaysia Dr Geshina Ayu Mat Saat berpendapat kumpulan penipu menyasarkan mangsa yang mudah tertarik untuk untung cepat.

“Kajian juga menunjukkan mangsa yang mudah ditipu mempunyai sifat keterbukaan, kawalan diri yang rendah, mencari jalan mudah atau pintas dan mempunyai tahap pendidikan yang rendah,” katanya.

Menurutnya, kebarangkalian untuk jenayah scammer ini terus berleluasa juga tinggi apabila kebanyakannya berlaku dalam talian seperti Facebook dan media sosial lain.

Menurut polis, hampir 72,000 kes penipuan melibatkan kerugian keseluruhan RM5.2 bilion dilaporkan setakat Mei 2022 sejak 2020.

Daripada jumlah itu, 68% melibatkan penipuan dalam talian dengan 26,213 kes didakwa di mahkamah. – 6 Oktober, 2022.     


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen