Indonesia sita kapal Jho Low, Malaysia pula gagal bertindak, kata Azmin


RAMPASAN kapal layar milik Low Taek Jho bernilai RM1 bilion oleh pihak berkuasa Indonesia adalah tindakan yang sangat berbeza dengan kegagalan Malaysia untuk bertindak dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kata Mohamed Azmin Ali.

Menteri besar Selangor itu dalam satu kenyataan hari ini mengalu-alukn rampasan itu, menyifatkannya sebagai perkembangan terbaru dalam skandal 1MDB.

“Tajuk utama laporan berita Indonesia jelas menyatakan: Kapal Equanimity Dibeli dengan Uang Hasil Korupsi di Malaysia.”

“Rampasan kapal layar Equanimity menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 memberi gambaran apa yang berlaku dengan kemenangan Pakatan: Jho Low dan pelaku konspirasi kleptokrat akan dihadapkan ke muka pengadilan dan segala aset curi yang jumlahnya berbilion ringgit akan dibawa ke Malaysia dan dikembalikan semula untuk membantu rakyat.”

Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat mendakwa kapal layar itu dibeli Low dengan wang hasil rompakan dana pelaburan Malaysia yang bergelut dengan masalah itu.

Low, yang lebih dikenali sebagai Jho Low dinamakan oleh DoJ sebagai dalang rompakan berbilion dolar daripada dana pelaburan Malaysia itu.

Azmin yang juga timbalan presiden PKR mengatakan kerajaan Barisan Nasional menafikan semakan kehakiman dilakukannya berkaitan kes itu tahun lepas. Semakan itu difailkan untuk mendesak ketua polis negara menahan dan mengekstradisi Low pulang ke Malaysia untuk berdepan tindakan undang-undang.

“Atas sebab itu, kita perlu mengundi untuk perubahan pada pilihan raya umum akan datang, kerana undi untuk perubahan itu adalah undi untuk keadilan,” katanya.

Manakala, Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil mengatakan Peguam Negara Mohamed Apandi Ali perlu memulakan tindakan mahkamah terhadap Low dan individu lain yang dipercayai terlibat dalam skandal 1MDB tanpa mengira pangkat atau jawatan dipegang mereka.

“Jho Low juga wajib membersihkan nama beliau di negara-negara lain yang menyiasat skandal 1MDB, termasuk di Amerika Syarikat.

“Selagi Jho Low tidak dihadapkan ke mahkamah di Malaysia dan di mana-mana negara lain yang menyiasat skandal 1MDB, selagi itu persepsi keterlibatan Jho Low dan individu-individu lain dalam skandal penyelewengan wang 1MDB akan mengukuh,” katanya.

Fahmi berkata beliau percaya ramai rakyat Malaysia menyambut baik berita rampasan kapal layar itu.

“Namun, kita juga malu kerana ia menunjukkan bagaimana tindakan undang-undang berkaitan skandal 1MDB kelihatan hanya berlaku di luar negara, termasuk di Amerika Syarikat, Singapura, Luxembourg, Switzerland dan terkini Indonesia.

“Memandangkan Jho Low telah mengecam rampasan kapal mewah beliau, dan memandangkan rampasan tersebut dibuat atas dakwaan wang RM 1 bilion yang diguna untuk membeli kapal mewah diseleweng dari 1MDB, Jho Low sebenarnya perlu segera pulang ke Malaysia dan membersihkan nama beliau dengan menyerah diri untuk didakwa di mahkamah di negara ini.” – 1 Mac, 2018.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen