RUU tembakau digubal bagi lindungi golongan B40, kata Khairy


Kalidevi Mogan Kumarappa

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata pihaknya mendapati golongan B40 paling ramai yang terkesan akibat penggunaan tembakau berbanding kelompok lain. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Oktober, 2022.

Rang Undang-undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 digubal bagi melindungi rakyat negara ini terutama dalam kalangan B40 daripada terus menjadi mangsa syarikat tembakau, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata pihaknya mendapati golongan B40 paling ramai yang terkesan akibat penggunaan tembakau berbanding kelompok lain. 

Katanya majoriti rakyat yang mengalami komplikasi akibat rokok seperti sakit jantung, kanser, penyakit paru-paru adalah golongan B40.

“Golongan B40 menjadi kumpulan sasaran bagi syarikat tembakau. Adalah tidak masuk akal, kerajaan mahu menyusahkan mereka. 

“Kerajaan sebenarnya mahu melindungi kumpulan ini daripada syarikat pembunuh ini,” katanya dalam sidang akhbar di Putrajaya.

Khairy berkata tuduhan mengatakan RUU ini akan menjenayahkan kanak-kanak adalah mengelirukan rakyat sedangkan kompaun kepada bukan orang dewasa memang wujud dalam peraturan sedia ada. 

Katanya RUU ini bukan untuk mendaftarkan kanak-kanak sebagai penjenayah kerana ia adalah kes saman dan tidak masuk penjara. 

“Malah tiada pun hukuman penjara bagi org bukan dewasa ataupun RUU baharu yang lahir selepas itu. Ia tidak ada kes jenayah, semua adalah kes saman kes. Jangan kelirukan rakyat dengan dakwaan sedemikian, ia tidak betul. 

“Seperti contoh jika seorang kanak-kanak ditahan kerana membeli rokok dia hanya akan disaman RM50 dan tiada rekod malah jumlah saman itu boleh dibayar dan tidak perlu ke mahkamah dan ia sama juga dengan RUU yang baharu ini,” katanya. 

Beliau berkata RUU ini melalui pelbagai proses perbincangan melalui jawatankuasa khas yang dianggotai ahli dari semua parti politik utama. 

Katanya semua parti seperti Amanah, DAP dan PKR juga bersetuju dengan pindaan itu.

“Bagaimanapun saya difahamkan memorandum itu diserahkan oleh seorang individu yang mewakili satu kumpulan atau organisasi yang difahamkan ada berita mengatakan ia ditaja syarikat tembakau.

“Perlu ingat kita perlu betul-betul bebaskan diri daripada sebarang kepentingan,” katanya.

Pada 27 Julai lalu Khairy membentangkan RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat.

Namun pada 2 Ogos lalu Dewan Rakyat bersetuju RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 dirujuk ke JPK Parlimen untuk diteliti serta membuat syor penambahbaikan ketika usul itu pada peringkat bacaan kedua.

RUU berkenaan bertujuan mewujudkan Generasi Penamat (GEG) hanya akan membabitkan golongan individu lahir selepas 1 Januari 2007.

Ia antara lain melarang penjualan serta penggunaan sebarang bentuk bahan merokok termasuk rokok elektronik atau ‘vape’ kepada individu yang dilahirkan pada tahun selepas 2017. – 5 Oktober, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen